Categories
SELANGOR

Laporan Audit Negara: PBT Selangor catat surplus, MDHS tertinggi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 NOV : Sebanyak sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT) mencatatkan prestasi kewangan dengan kutipan surplus, bagi tempoh sehingga 31 Mei 2016.

Laporan Ketua Audit Negara bagi siri 2 (dua) mendedahkan, Majlis Daerah Hulu Selangor menunjukkan peningkatan surplus tertinggi berbanding 12 PBT lain.

“Pada keseluruhannya, prestasi kewangan PBT tahun 2015 adalah memuaskan. Sungguhpun tiga PBT mencatatkan defisit, namun 9 PBT lain memperoleh surplus.

“Selain itu, aset semasa bersih dan kutipan cukai taksiran 12 PBT masing-masing meningkat RM303.19 dan RM94.37 juta diimbang dengan penurunan surplus sejumlah RM199.53 juta.

“Peningkatan jumlah tunggakan cukai taksiran adalah sejumlah RM36.21 juta,” kata laporan itu.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam mencatatkan penurunan surplus tertinggi dengan kutipan RM166.81 juta.

Faktor tersebut didorong berpunca daripada penurunan Perkhidmatan Dan Bayaran Perkhidmatan sejumlah RM187.93 juta.

Sementara itu, kutipan cukai taksiran yang dikenakan terhadap harta pegangan di bawah kawasan pentadbiran PBT mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.32 bilion.

Jumlah tersebut meningkat daripada kutipan tahun sebelumnya, RM1.2 bilion dengan Majlis Perbandaran Sepang mencatatkan kutipan perubahan paling tinggi, sebanyak RM23.03 juta.

Bagaimanapun Majlis Bandaraya Shah Alam kekal sebagai PBT paling tinggi menerima kutipan cukai sebanyak RM246.07 juta dan Majlis Daerah Sabak Bernam di kedudukan terakhir dengan RM6.78 juta.

EZY