Categories
NASIONAL

BERSIH 5: Maria Chin terima ugutan bunuh kali kedua

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah sekali lagi menerima ugutan bunuh menjelang pengajuran himpunan BERSIH 5, pada 19 NovemberĀ ini.

Menulis di Twitter, Maria bagaimanapun berkata, ancaman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengadakan demostrasi berkenaan.

“Kali kedua menerima ugutan bunuh. Himpunan Bersih akan diteruskan dan kita tidak akan henti membantah,” katanya.

Namun, Maria tidak mendedahkan butiran ancaman bunuh yang diterimanya.

Maria menerima ancaman bunuh kali pertama, pada pertengahan Oktober lalu menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.

untitled-1Mesej itu turut melampirkan gambar Datuk S Ambiga bersama anggota sekretariat BERSIH, Mandeep Singh yang diacu pisau di leher mereka seperti dilakukan militan IS.

Ketiga-tiga mereka juga menerima ancaman bunuh secara bertulis berserta gambar.

Selain Maria, ahli keluarganya turut menerima ancaman sama oleh individu tidak dikenali selepas kereta anak lelakinya disimbah cat merah.

Laporan polis berkenaan insiden itu sudah dibuat, namun tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga kini.

-AA-