Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Penting jaga kebersihan, tarikan pelancong ke Sekinchan

SHAH ALAM, 17 OKT: Persekitaran yang indah dan bersih di Sekinchan bakal mendorong kemasukan lebih ramai pelancong ke daerah itu selepas pandemik Covid-19 pulih.

Ahli Dewan Negerinya Ng Suee Lim berkata kerjasama masyarakat setempat untuk memelihara kebersihan di kawasan tumpuan pelancong amat penting.

“Selain daripada pembangunan sedia ada yang dijana di sini, kita sedang mengorak langkah untuk membangunkan sektor pelancongan kerana saya percaya ramai lagi (pelancong) akan masuk (ke Sekinchan) selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Kita perlu memastikan Sekinchan kekal hijau, tenang dan harmoni serta mengelak pembuangan sampah-sarap di merata-rata sehingga boleh mencacatkan pemandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan sumbangan 100 unit tong sampah jenis Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter di Tokong Sekinchan Xian Fa Shi Gong Gu Miao di sini semalam.

Sumbangan diserahkan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir untuk ditempatkan di masjid, tokong, kuil, sekolah dan Pantai Redang, Sekinchan.

Sekinchan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan laut, pemandangan sawah padi dan produk industri kecil dan sederhana. Foto SELANGORKINI

Suee Lim berkata pemberian tong sampah berkenaan cukup bermakna dan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan sisa pepejal dengan efektif.

“Saya berterima kasih atas budi bicara unit tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDEBWM kerana meluluskan permohonan untuk mendapatkan tong sampah berkenaan malah berharap ada lagi sumbangan pada tahun-tahun akan datang.

“Pada masa sama, saya mahu ahli majlis, ketua kampung dan ketua komuniti supaya dapat bekerjasama dengan KDEBWM dalam menyalurkan maklumat berkaitan sampah-sarap bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP jadikan Sungai Klang lebih bersih, 43 peratus kurang sampah

SHAH ALAM, 20 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac membawa kepada pengurangan 43 peratus jumlah sampah dikeluarkan daripada Sungai Klang.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan hari ini berkata dari 15 Mac sehingga 15 April, sebanyak 15,580 tan metrik (MT) sampah dikumpul menerusi projek “Selangor Maritime Gateway” (SMG) berbanding purata 900 hingga 1,200MT sebulan dalam tempoh enam bulan lepas.

Beliau berkata bagi tempoh itu, Sungai Klang mencatatkan bacaan Indeks Kualiti Air (WQI) Kelas III hampir 90 peratus daripada masa pemantauan berbanding pada tahun lepas sehingga Mac, dan walaupun secara keseluruhannya bacaan WQI pada Kelas III adalah baik, ia hanya kira-kira 46 peratus daripada masa pemantauan.

“Ini menunjukkan bahawa meminimumkan pergerakan orang ramai dan operasi perniagaan dapat membantu memulihkan sungai seperti ditunjukkan oleh frekuensi lebih tinggi WQI Kelas III.

“Apa yang lebih penting ia meningkatkan lagi kualiti air, berikutan data antarabangsa menunjukkan air bersih adalah faktor utama bagi pertumbuhan ekonomi,” katanya.

LLSB diberi mandat oleh Kerajaan Selangor untuk memulihkan Sungai Klang menerusi pembersihan dan pemuliharaan menerusi projek SMG.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PNS, SSM laksana basmi kuman kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) mengambil langkah proaktif bagi mencegah warga kerjanya terdedah kepada jangkitan Covid-19 dengan melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman di Menara PNS di Bangsar Selatan.

PNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa proses pembersihan dan pembasmian kuman itu dijalankan pada 5 hingga 8 Mac bertujuan memastikan persekitaran yang bersih untuk pekerja, penyewa dan pelawat.

“PNS juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi menangani penularan Covid-19 dengan memeriksa suhu badan setiap warga kerja, penyewa dan pelawat sebelum memasuki Menara PNS dan menyediakan pembersih tangan di dua kaunter utama bangunan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu turut mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) sebagai langkah persediaan untuk mengatasi krisis Covid-19 dan pasukan itu bertanggungjawab memantau keadaan selain memberi peringatan dan arahan tindakan kepada semua warga kerja dan penyewa.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan ibu pejabatnya di Menara SSM, Sentral Kuala Lumpur akan melalui kerja-kerja nyah kuman atau sanitasi menyeluruh pada Ahad ini.

“Bagi memastikan pelaksanaan sanitasi yang optimum, pelanggan SSM dinasihat untuk tidak melawat ibu pejabat SSM pada 12 dan 13 Mac. Tindakan ini diambil sebagai langkah pencegahan dan kesediaan terhadap COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Sebagai alternatif, orang ramai digalakkan untuk menggunakan kemudahan dalam talian SSM dan mengelak daripada menggunakan perkhidmatan kaunter di Menara SSM.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

BERSIH ajak SPR debat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 APR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berdebat secara terbuka berkenaan pilihan raya, di negara ini.

Koordinator BERSIH, Chan Tsu Chong melalui laman rasmi twitter BERSIH berkata, Mohd Hashim perlu berdebat secara terbuka berkenaan ketelusan proses pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Debat ini mesti disiarkan secara langsung melalui media arus perdana,” katanya.

Tsu Chong juga menyatakan kebimbangan jumlah peratusan mengundi rendah, pada 9 Mei ini walaupun diumumkan sebagai cuti umum.

Melalui kajian BERSIH, peratusan mengundi sebanyak 90 peratus diperlukan, pada PRU14 bagi membentuk suara rakyat, sekali gus menentukan masa depan Malaysia.

“Semua majikan di negara ini perlu mempertimbangkan kelulusan cuti tambahan untuk pekerja yang lokasi mengundinya jauh, terutama mereka terpaksa pulang ke Sabah dan Sarawak.

“BERSIH juga memohon majikan yang mempunyai pekerja warganegara Malaysia di Singapura, Brunei dan Selatan Thailand turut memberi sokongan kepada mereka yang berhasrat membuang undi,” katanya.

Sebelum itu, Penasihat Undang-undang SPR, Azizan Md Arshad dalam satu kenyataannnya bertegas supaya masyarakat menghormati keputusan SPR yang menetapkan 9 Mei sebagai tarikh mengundi.

Azizan turut menjelaskan kesemua anggota suruhanjaya yang diketuai pengerusi SPR membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan pelbagai faktor.

Katanya, tidak ada yang dibuat SPR berdasarkan kepada pemahaman sendiri. Semua itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, akta pilihan raya, peraturan dan sebagainya. Semua telah dijelaskan dan proses (pilihan raya) itu mesti dilalui semua pengundi.

Selain hari pengundian bagi PRU14 pada 9 Mei, SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.

Categories
NASIONAL

BERSIH: Hati-hati ketika ambil hati pengundi

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 APR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melancarkan operasi pemantauan bagi mencegah gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi.

Koordinatornya, Chan Tsu Chong berkata, pihaknya menasihatkan supaya parti politik lebih berhati-hati ketika cuba mengambil hati pengundi.

“BERSIH akan memantau adakah parti politik cuba memberi hadiah yang melampau, mengadakan jamuan makanan yang berlebihan atau mewujudkan pengaruh yang tidak baik kepada pengundi.

“Tujuan badan operasi pemantau ini dilakukan kerana kami tidak mahu acara ‘beli’ undi ini diterapkan dalam masyarakat, biar pilihan raya yang diadakan ini adil dan saksama tanpa cuba dipengaruhi wang ringgit,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, BERSIH mengumumkan operasi pemantauan yang dinamakan Kempen Laporkan Salah Laku PRU14 itu di laman sosial dan boleh disertai orang ramai.

Tsu Chong berkata, terdapat 500 koordinator pemantau mula bertugas di seluruh negara, bermula semalam.

“Terdapat 11 perkara yang akan difokuskan termasuk penggunaan aset dan jentera kerajaan, kelakuan berat sebelah oleh pegawai, politik perkauman, keganasan politik dan tidak ketinggalan pengundian awal atau undi pos.

“Setakat ini, BERSIH tmerekodkan 48 kesalahan sepanjang pilihna raya yang lepas dan antara kesalahan tertinggi ialah penggunaan aset kerajaan,” katanya.

Orang ramai khasnya pengundi boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.pemantau.org, sebarang aduan juga boleh e-mel terus kepada [email protected] atau whatsapp kepada 011-17721546.

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0: Persempadanan mudahkan lagi Umno-BN menang PRU-14

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 4 APR: Persempadanan semula dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan diluluskan Dewan Rakyat membolehkan Umno- Barisan Nasional (Umno-BN) mengekalkan kemenangannya dalam PRU-14.

Pegawai Peninjau Bersih 2.0, Chan Tsu Chong berkata, ia ekoran minimum kemenangan perlu untuk membentuk kerajaan hanya 16.5 peratus undi popular.

Katanya, Umno-BN dilihat cuba untuk mengekalkan tampuk pemerintahan negara dengan melaksanakan persempadan semula apabila pembahagian kawasan tidak sekata.

“Walaupun undi popular sebanyak 16.5 peratus untuk memenangi pilihan raya tidak mungkin berlaku, saya percaya Umno-BN akan kembali berkuasa sekalipun kehilangan undi majoriti seperti dilakukan pada PRU13 sebelum ini.

“PRU-13 lalu Umno-BN memenangi pilihan raya walau hanya 47 peratus undi popular namun peratusan itu diterjemahkan kepada 60 peratus kerusi parlimen,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Tsu Chong berkata, kawasan pilihan raya dimenangi Umno-BN pada 2013 hanya 48,228 pengundi secara purata manakala dimenangi pembangkang adalah lebih berganda dengan jumlah 79,436 pengundi.

“Ini bermakna Umno-BN boleh kembali lagi berkuasa jika kalah majoriti undi.

“Apabila mandat pengundi untuk Parlimen dan kerajaan secara tidak sengaja diputarbelitkan, legitimasi seluruh sistem politik dipertikaikan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Lagi 10,000 pengundi Selangor failkan bantahan SPR

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama pengundi dan pihak berkepentingan di Selangor telah memfailkan dua lagi kes baru di mahkamah bagi mencabar proses persempadanan semula yang masih berlangsung.

Dua kes tersebut membabitkan permohonan Ivy Josiah bersama tiga lagi pemohon menentang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang difailkan pada 8 Mac 2018 iaitu sebelum SPR menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri.

Sementara itu permohonan Maria Chin Abdullah pula bersama 106 yang lain menentang SPR, Perdana Menteri Malaysia dan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang difailkan pada 20 Mac 2018 iaitu selepas SPR menyerahkan laporan akhir persempadanan kepada Perdana Menteri.

Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Shahrul Aman Mohd Saari, berkata setiap pemohon merupakan wakil kepada 100 lebih pengundi yang mengemukakan representasi bantahan kepada SPR semasa pameran Syor Kedua Persempadanan Semula Selangor pada 15 Januari 2018 hingga 14 Febuari 2018.

“Oleh itu kes ini dibawa bersama oleh 10,000 lebih pengundi di Selangor dari 11 kawasan pilihan raya Parlimen dan 17 kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya pada sidang media Bersih 2.0 di pejabatnya di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, kes ini difailkan kerana SPR didakwa gagal mengadakan sesi siasatan tempatan untuk kumpulan dalam kes ini walaupun mereka telah menghantar representasi bantahan.

Katanya, keengganan dan kegagalan SPR mengadakan siasatan awam untuk kumpulan pengundi ini merupakan satu rekod terburuk dan terkini SPR.

“Mengapa mereka kini mahu menafikan hak asas 10,000 lebih pengundi untuk didengar di mana sesi siasatan awam merupakan hak yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pengundi pos dipindah sewenangnya, Bersih 2.0 kecewa keputusan mahkamah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (2.0) kecewa dengan keputusan mahkamah menolak bantahan pengundi terhadap pemindahan anggota tentera ke sebuah kem yang belum siap dibina.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata keputusan itu memberi implikasi SPR dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh memindahkan pengundi pos di kalangan anggota tentera ke mana sahaja pada bila-bila masa tanpa perlu memberi justifikasi yang munasabah.

“Semalam kita kalah satu kes di Segamat di mana pemindahan anggota tentera ke kem yang belum di bina dan kes difailkan tetapi ditolak mahkamah.

“Maknanya SPR boleh pindahkan anggota tentera ke mana-mana kem yang mereka suka dan tidak perlu beri apa-apa sebab mereka dipindahkan ke kem itu walaupun kem itu tak wujud. Ini yang sangat mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Bersih 2.0 di pejabatnya di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau turut kecewa terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan SPR mengekalkan nama pemilih tanpa alamat kekal dalam daftar pemilih SPR di Selangor.

Katanya, tambah mendukacitakan, apabila mahkamah menolak petisyen bantahan berhubung kes kesalahan teknikal yang serius apabila Pegawai SPR bertindak tidak memberi Borang 14 kepada Agen Pengundian, Agen Pengiraan (PACA) kepada salah satu parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Selepas pilihan raya kita telah kenal pasti apabila terdapat satu kes yang sepatutnya kita boleh menang melibatkan kesalahan teknikal di mana Pegawai SPR tidak beri borang 14 kepada PACA yang berada di pusat pengundian. Kalau borang tidak diberi bagaimana kita nak menang,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU-14: BERSIH 2.0 jangka 80% keluar mengundi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 10 JAN: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menjangkakan lebih 80 peratus pemilih akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, beliau juga berharap supaya pengundi tidak mensia-siakan peluang memilih wakil rakyat dan kerajaan pilihan masing-masing.

“Saya harap kali ini jumlah keluar mengundi lebih 80 peratus dengan mengekalkan pencapaian tinggi keluar mengundi, pada PRU13 lalu,” katanya pada sidang media BERSIH 2.0, di pejabatnya di Pusat Perniagaan Eight Avenue, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengundi juga tidak harus berpatah hati untuk mengundi walaupun terdapat banyak penyelewengan pilihan raya berlaku, di negara ini.

Katanya, pengundi perlu mengambil iktibar PRU12 dan PRU13 lalu apabila tanpa disangka pembangkang memenagi undi popular, di samping menawan lima negeri pada PRU12.

“Saya sedar ada pengundi merasakan tiada harapan dan tetapi masih ada untuk melakukan perubahan kerana lihat sahaja pada 2008 dan 2013. Rakyat patut gunakan kuasa mengundi,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Pendengaran kes Maria Chin ditetapkan 11 Oktober

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 19 JULAI: Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 Oktober ini sebagai tarikh pendengaran bagi memutuskan sama ada permohonan rayuan kerajaan mencabar keputusan mahkamah mengenepikan dakwaan ke atas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah boleh di dengar di sini (Mahkamah Persekutuan).

Shahid Adly selaku peguambela Maria bersama M Puravalen berkata, keputusan itu dibuat panel lima hakim, diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif.

“Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai kuasa mendengar rayuan ini kerana ia berasal dari Mahkamah Sesyen.

“Pada tarikh itu nanti lebih kepada sama ada permohonan (kerajaan) bagi perbicaraan itu boleh di engar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 7 September 2016, Mahkamah Rayuan membatalkan pertuduhan terhadap Maria yang didakwa gagal memberi notis kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan, pada Ogos 2015.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika itu memutuskan terdapat merit untuk membenarkan rayuannya bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan membatalkan pertuduhan berkenaan.

Categories
NASIONAL

BERSIH dakwa berlaku persempadanan ‘pintu belakang’

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 10 JULAI: BERSIH 2.0 mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula menerusi ‘pintu belakang’ atau secara senyap.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata, sebagai contoh kejadian itu didapati berlaku di Kuala Kubu Bharu, sekali gus disifatkan melangkaui Parlimen.

“Mereka (SPR) mengatakan ia kesilapan teknikal tetapi berdasarkan penemuan, terdapat beberapa nama pengundi dikeluarkan ke kawasan lain secara senyap.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, pertukaran sesebuah kawasan pengundi lain perlu menerusi persetujuan Parlimen.

“Hakikatnya SPR sudah melangkaui Parlimen. Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

maria chinBeliau berkata demikian ketika ditemui di luar Pejabat Perdana selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low.

Katanya, Bersih akan membawa kes itu ke mahkamah selepas berbincang dengan peguam dan sedang mengumpulkan bukti lain.

Dalam pertemuan itu, Maria yang turut ditemani Timbalan Pengerusi Bersih, Shahrul Aman Mohd Saari turut menyerahkan beberapa saranan penambah baik sistem pilihan raya.

Antara yang dimasukkan dalam saranan itu termasuk langkah menambah baik sistem daftar pemilih, persempadanan semula yang lebih adil, serta tarikh berkempen minimum 21 hari.

Selain itu, Bersih turut berharap dapat mengadakan pertemuan dengan SPR bagi membincangkan masalah terbabit.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SPR sekat hak pengundi kali pertama di Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa cuba menafikan tanggungjawab dan hak pengundi pemilih kali pertama sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Jay Jay Denis mendakwa, SPR cuba memanipulasi hak pengundi Selangor menerusi bantahan pendaftaran alamat kediaman pemilih bagi Parlimen Sepang.

Katanya, spekulasi negatif berhubung isu berkenaan juga timbul apabila hanya kaum Cina sahaja dipanggil bagi memberikan penerangan berkait maklumat kediaman pengundi.

Jay Jay Denis“Saya tidak faham apa yang dilakukan SPR apabila mengemukakan bantahan membabitkan kaum tertentu. Adakah mereka menetapkan perbezaan itu mengikut kaum atau bantahan (alamat) dibuat merujuk kepada satu kaum sahaja yang majoritinya pengundi baru bagi kawasan ini.

“Saya minta SPR kalau mahu tipu rakyat, jangan buat begini dan keutamaannya jangan susahkan rakyat,” katanya selepas hadir pada Sesi Pendengaran Siasatan Awam yang turut dihadiri lebih 50 pengundi bagi Parlimen Sepang, di sini, hari ini.

Terdahulu, sesi pendengaran dibuat sebagai bantahan susulan timbulnya keraguan alamat kediaman pemilik yang didakwa SPR sebagai ‘alamat tidak dikenali’.

Mempertikai alasan itu, Jay menyifatkan kenyataan berkenaan tidak masuk akal selain berkait agenda tertentu parti kerajaan di peringkat persekutuan.

“Kalau tidak dikenali, bagaimana kiriman surat boleh dihantar kepada penerima sebelum ini? Ia alasan yang langsung tidak masuk akal.

“Tindakan SPR ini seolah-olah menampakkan suruhanjaya ini sudah bekerjasama dengan parti politik tertentu,” katanya.

Sesi pendengaran siasatan awam SPR dijalankan susulan timbulnya bantahan proses pendaftaran pemilih yang didakwa tidak bertepatan dengan prosuder suruhanjaya itu.

Antara pertikaian dibangkitkan termasuklah isu pendaftaran alamat pengundian dan status daftar pemilih pengundi PRU-14.

Satu elemen penting dalam sistem pilihan raya ialah seseorang pemilih itu mestilah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dia boleh mengundi dalam pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:- warganegara Malaysia; berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan; seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan tidak hilang kelayakan.

Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

Pengundi boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya.

-NFN-