Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK, Jabatan Kesihatan Selangor keluar 62 kompaun

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 7 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengadakan operasi bersepadu premis makanan membabitkan 67 gerai dan 52 restoran, baru-baru ini.

YDP MPKYang Di Pertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, empat kompaun dikeluarkan MPK dan 58 kompaun dikeluarkan JKNS.

Katanya, 14 premis diarahkan tutup selama dua minggu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 atas beberapa kesalahan daripada jumlah itu.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ketika operasi dijalankan ialah terdapat tikus, premis berada dalam keadaan kotor, tiada suntikan TY2, pekerja tidak menghadiri ceramah kesihatan, tiada tong sampah dan tidak menyediakan ‘gris trap’.

“Operasi yang dijalankan bertujuan memastikan premis makanan bersih dan selamat untuk dikunjungi orang ramai serta mengelakkan kes keracunan makanan.

“MPK tak akan berkompromi dalam soal kebersihan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

ops-kotor-1Pada masa sama, Yasid meminta semua pihak peka dengan isu terkini ekoran terdapat ancaman kegiatan penipuan pemberian sijil premis bersih gred A kepada operator premis makanan khususnya di kawasan terbabit.

Katanya, kegiatan penipuan itu melibatkan penyamar yang mendakwa mereka dari jabatan kesihatan dan menawarkan sijil itu dengan kadar bayaran tertentu.

“Pengusaha premis makanan diingatkan berwaspada dan berhati-hati jika ada orang ingin membuat pemeriksaan di premis mereka.

“Setiap kakitangan MPK dilabelkan dengan kad kuasa yang tertera nama mereka dan ditandatangani saya sendiri. Tambahan pula tiada caj dikenakan untuk sijil premis bersih,” katanya.

-NFN-