Categories
SUKANKINI

MSN Selangor galak PBT anjur sukan komuniti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 NOV: Pemerkasaan program pembangunan sukan untuk 2017 oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor tertumpu kepada usaha penglibatan program kesukanan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Timbalan Pengarahnya, Mohd Najwan Halimi berkata, PBT seluruh negeri digalakkan untuk mewujudkan program kesukanan kepada komuniti setempat di peringkat akar umbi.

“MSN menggalakkan penglibatan PBT untuk turut sama dalam program kesukanan dengan penganjuran sukan seperti futsal, tarik tali, bola jaring, bola sepak, boling dan badminton.

“Untuk tempoh ini, pengajuran sukan ini bergantung kepada permintaan PBT, namun MSN menyokong sepenuhnya perkembangan inisiatif ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, MSN juga kini giat melaksanakan program kemahiran sukan dan latihan yang menjadi teras utama pembangunan untuk tahun hadapan.

liga-plus“MSN melalui bahagian pembangunan belia terus konsisten meningkatkan program berteraskan sukan dan latihan, yang masih lagi menjadi teras utama kita.

“Pada masa kita tingkatkan lagi dari sudut latihan kemahiran kepada penggerak belia tempatan, dan fokus juga tertumpu kepada pemberdayaan dan pemerkasaan aktiviti sukan seluruh negeri,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada Majlis Majlis Pelancaran Liga Sukan Selangor Plus di Matshushitah Sport Centre, Seksyen 21, di sini, pagi ini.

Terdahulu, sebanyak RM14 juta peruntukan disediakan dalam Pembentangan Belanjawan Negeri bagi menaik taraf infrastruktur sukan sedia ada sedia program pembangunan sukan di bawah MSN Selangor.

RM3.35 juta diperuntukkan sebagai persediaan kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 dan RM2 juta bagi kejohanan Le Tour De Selangor.

Keseluruhannya, RM19.9 juta dicadangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk tujuan perbelanjaan sukan bagi 2017.

EZY