Categories
SUKANKINI

MSNS anjur Karnival Gen–S Menjunjung Kasih 2016

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 24 NOV: Bersempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-71, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dengan kerjasama Persatuan Orang Kuat Malaysia akan menganjurkan Karnival Gen–S Menjunjung Kasih 2016, pada 10 Disember ini.

Presiden Persatuan Orang Kuat Malaysia, Zainurizzaman Moharam berkata, program bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam itu akan dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik mengikut trend masa kini.

“Tujuan karinival ini adalah mengubah persepsi negatif sesetengah masyarakat yang menganggap trend terkini sebagai membuang masa.

“Selain itu, ia adalah sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri menerapkan rasa cinta anak muda Selangor terhadap Tuanku,” katanya.

Zainurizzaman berkata, karnival itu melibatkan beberapa agensi kerajaan, sekali gus memberi peluang untuk mendekati generasi muda.

Katanya, karnival itu turut memberi peluang kepada generasi muda di Selangor menonjolkan bakat dengan aktiviti trend terkini di samping menghidupkan rasa kasih dan peduli kepada Institusi Kesultanan di Selangor.

“Sudah tentu aktiviti seumpama ini akan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.

“Kami juga mahu mewujudkan persekitaran sesuai dan dinamik bagi mempamerkan bakat dan potensi melalui satu karnival tahunan,” katanya.

-AA-