Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Khalid Samad diserang di Parlimen

NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diserang perusuh ketika beliau menghampiri bangunan utama Parlimen, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau bernasib baik apabila diselamatkan pegawai keselamatan, sekali gus menghalang kejadian menjadi lebih serius.

Kira-kira 30 lelaki pada mulanya hanya mengganggu Khalid, menjerit “hidup Pasir Salak”, namun insiden itu bertukar ganas selepas salah seorang daripada mereka jatuh di hadapan beberapa pegawai keselamatan Parlimen.

Kumpulan rusuhan itu mengejar Khalid dan pegawai keselamatan dapat melindunginya daripada sebarang kejadian tidak diingini.

Khalid yang mengulas insiden itu memaklumkan beliau tidak mengalami kecederaan.

“Mereka tidak berjaya menyentuh saya, terima kasih kepada empat pegawai keselamatan yang melindungi saya dengan baik,” katanya.

gaduhshahal-transformedSerangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di Dewan Rakyat pada Isnin, apabila Khalid memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai ‘sial’.

Mengulas lanjut, Khalid berkata seorang daripada ahli kumpulan itu mengaku dirinya sebagai anak kepada Tajuddin.

“Dia kata pada saya kenapa awak panggil bapa saya sial?” katanya.

Dalam video rakaman insiden itu, seorang lelaki dilihat menjerit pada Khalid mengatakan kejadian itu baru permulaan.

Khalid dan Tajuddin terbabit dalam pertikaman lidah di Dewan Rakyat, Isnin lalu apabila Ahli Parlimen Pasir Salak itu secara sinis menggelar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada “Kok”.

Pertengkaran kemudiannya tercetus dan Khalid turut bangkit dengan menggelar Tajuddin “sial” kerana tidak mahu menarik balik kata-katanya itu.

Tajuddin juga mengancam untuk menyaman Khalid.

-AA-