Categories
NASIONAL

Nurul Izzah syukur KPN, Menteri diheret ke mahkamah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menganggap kejayaan mengheret Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perbicaraan penuh kerana memfitnah beliau sebagai satu kemenangan moral.

Hal itu ekoran Mahkamah Rayuan semalam memutuskan menolak rayuan Khalid dan Ismail Sabri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 17 Jun lalu menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman fitnah itu.

“Ini satu permulaan baik kemenangan moral kepada kami,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Peguam R Sivarasa berkata, Mahkamah Rayuan sudah mengesahkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi sebelum itu adalah tepat kerana Nurul Izzah mempunyai hak untuk meneruskan saman terbabit.

“Saya difahamkan kes ini ditetapkan pada Mei tahun depan dan pada masa itu saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada mahkamah. Khalid dan Ismail Sabri wajib hadir ke mahkamah nanti.

izzah“Mahkamah menerima hujah kami kerana perkataan dikeluarkan kedua-dua mereka jelas bersifat fitnah kerana menuduh Nurul Izzah menderhaka kepada negara dengan perkataan menderhaka itu sesuatu yang serius dan berat,” katanya.

Nurul Izzah sebelum ini memfailkan saman itu apabila Khalid mengeluarkan kenyataan memfitnahnya ketika sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman, pada 22 November 2015.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan fitnah kepadanya, pada hari sama dalam satu acara di Bera, Pahang.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah berkata, kenyataan itu dibuat Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram.

-AA-