Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Operasi 24 jam, lokasi tanah runtuh terkawal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERENDAH, 26 NOV : Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini terkawal dengan operasi pemantauan dan pembaikan dijalankan 24 jam, kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R. Supramanian.

Bagaimanapun katanya, penduduk masih belum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sehingga kerja pembaikan selesai dijalankan.

“Hasil pemantauan teknikal JKR, kerja pembaikan memerlukan tujuh hingga 10 hari untuk memastikan kawasan ini pulih sepenuhnya.

“Kami mendapati masih terdapat aliran air di bawah tanah yang memerlukan pemantauan berterusan.

img_5359“Untuk tempoh ini, kami akan kekal berada di kawasan kejadian dan mangsa akan terus ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Rendah Agama Serendah,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam perkembangan itu, beliau memaklumkan beberapa pelan jangka panjang dan kaedah turut digunakan bagi mengurangkan kesan hakisan runtuhan tanah.

Beliau berkata, ini termasuklah rancangan pemasangan struktur besi pada dinding tanah dan menutup kawasan kedalaman lubang menggunakan kain kanvas.

“Sehingga kini, penduduk tidak perlu bimbang kerana keadaan masih terkawal dan laporan penuh daripada JKR akan dikeluarkan dalam tempoh tiga hingga empat hari,” katanya.

Sehingga kini katanya, kawasan tanah runtuh dilaporkan berkeluasan 150 meter dengan kedalaman 10-15 meter sementara 600 keluasan persekitaran diletakkan di bawah paras merah.

Dalam pada itu, beliau meminta semua mangsa terdiri daripada 64 keluarga melaporkan diri kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi proses bantuan dan kemaskini statistik pihaknya.

Sebelumnya, dilaporkan pengairan air dalam tanah menjadi punca berlakunya runtuhan tanah di kawasan berkenaan jam 1 pagi ini.

-nR-