Categories
SELANGOR

Pastikan kontraktor mampu laksana tugas berkesan

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 30 NOV: Semakan penyata kewangan kontraktor dirujuk kepada institusi kewangan mulai 2017 bagi memastikan keupayaan kontraktor di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) melaksanakan tugas.

Yang DiPertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, langkah itu bagi mengatasi kelemahan beberapa kontraktor sebelum ini yang gagal melaksanakan tugas walaupun tender diberikan.

“Kita mahu penyata kewangan mereka dirujuk kepada bank bagi memastikan keupayaan kontraktor ini. Mereka menerima tugas tetapi gagal melaksanakannya disebabkan modal tidak mencukupi,” katanya dalam mesyuarat bulanan, di sini.

Puasa berkata analisis penilaian semasa setiap kontraktor turut diambil kira dan cabutan undi untuk memilih kontraktor sentiasa dilakukan bagi memastikan pemilihan kontraktor yang baik dari semasa ke semasa.

“Diharap pendekatan ini lebih memastikan sistem kita lebih terbuka dan terkawal,” katanya.

Selain itu, Puasa mengingatkan kakitangan MPSp supaya meningkatkan tahap integriti perkhimatan awam masing-masing.

“Kesungguhan organisasi menuntut semua lapisan kakitangan untuk berubah bukan terletak pada kerajaan semata-mata.

“Hakikatnya, tahap kesedaran kakitangan kerajaan terhadap integriti dan semangat anti rasuah jelas meningkat, namun masih banyak ruang boleh diperbaiki,” katanya.

=EZY=