Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SUKANKINI

Piala AFF Suzuki: Malaysia dikalahkan Vietnam 1 – 0

OLEH HAFIZAN TAIB

YANGON, 24 NOV: Malaysia dikecewakan Vietnam apabila tewas 0 – 1 dalam perlawanan Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwanna, di sini, semalam.

Kekalahan itu membuatkan Harimau Malaysia menempuh laluan sukar melayakkan diri ke separuh akhir.

Sebaliknya, kemenangan kedua memberikan keselesaan kepada Vietnam dan sudah menempah tiket ke peringkat itu bersama juara bertahan, Thailand.

Gol Vietnam dijaringkan Nguyen Trong Hoang pada minit ke-79 di depan pintu gol melepasi halangan barisan pertahanan dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

malaysiaDalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan memulakan aksi penuh waspada dalam usaha mencari jaringan gol kemenangan.

Walau diasak hebat pasukan bimbingan Nguyen Huu Thang, namun Malaysia tetap memberi ancaman dan percubaan dilakukan Ahmad Hazwan Bakri (m42) membuatkan penjaga gol, Tran Nguyen Manh berusaha menyelamatkan keadaan.

Separuh masa pertama tanpa jaringan menguatkan azam pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi mencipta gol dalam babak kedua tetapi pertahanan Vietnam kental bertahan selain bertindak pantas membalas serangan.

Usaha berterusan Vietnam nyata berbaloi dengan gol jaringan Trong Hoang dan keputusan kekal hingga wisel penamat.

Kekalahan dalam aksi kedua itu menyebabkan Malaysia tiada pilihan dan perlu mengalahkan tuan rumah, Myanmar, dalam perlawanan Sabtu ini (26 November) bagi membuka laluan ke separuh akhir.

Harimau Malaysia menewaskan Kemboja 3 – 2 dalam perlawanan pertama, Ahad lalu (20 November).

-NFN-