Categories
EKONOMI

Ringgit terus jatuh, RM4.4240 sedolar AS

KUALA LUMPUR 23 NOV: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini apabila harga minyak dijejaskan oleh sentimen pelabur, kata peniaga.

Pada jam 9.01 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.4240/4290 berbanding dolar daripada 4.4170/4250 pada Selasa, lapor BERNAMA.

Seorang peniaga berkata, harga minyak susut dalam dagangan semalaman dengan peserta pasaran menunggu hala tuju daripada mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Dilaporkan bahawa dua anggota OPEC, Iran dan Iraq, tidak bersedia untuk bersetuju dengan perjanjian mengurangkan output minyak mentah.

“Ini mencetuskan kebimbangan baharu di dalam pasaran,” kata peniaga itu.

Di dalam negara, fokus akan terarah kepada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari terakhir Bank Negara Malaysia (BNM), yang akan dikeluarkan hari ini, bagi menentukan sama ada untuk mengekal atau mengubah kadar dasar semalaman (OPR).

Ini adalah mesyuarat dasar pertama BNM sejak kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden AS.

Ringgit diniagakan dalam nota lemah, susut lebih daripada lima peratus sejak itu.

Ramai pakar dan peserta pasaran percaya bahawa kadar penanda aras faedah akan tidak berubah daripada kadar semasa berikutan tekanan ke atas ringgit.

Pada 9 September lalu, BNM membuat keputusan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus selepas mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada 13 Julai.

Berbanding mata wang utama lain, unit tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.9788/9851 daripada 3.9875/9955, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4920/4986 daripada 5.5102/5220 serta menokok berbanding euro kepada 4.6974/7049 daripada 4.7023/7117 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1048/1089 daripada 3.1042/1103 semalam.

=EZY=