Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM352.6 juta bangun industri aeroangkasa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor menerima pelaburan RM352.6 juta bagi tiga projek perkilangan industri aeroangkasa bagi tempoh 2015 hingga Ogos lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian Kecil dan Sederhana, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia meliputi RM322 juta pelaburan tempatan dan baki RM30.6 juta adalah pelaburan asing.

“Daripada tiga projek ini, dijangkakan 237 peluang pekerjaan bakal dibuka,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

teng-dunBeliau merujuk soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong berhubung pelaburan aeroangkasa di Selangor.

Berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), syarikat yang terlibat adalah UMW Aerospace Sdn Bhd, Blue Lines Sdn Bhd dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

“UMW bakal membuka ruang pekerjaan kepada 166 jawatan kosong, Blue Lines (61), manakala Global Turbine (10),” katanya.

Bertempat di Serendah, UMW dijangka membangunkan produk ‘fan case for aero engines’.

Sementara itu, Blue Lines dan Global Turbine memilih lokasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

Blue Lines bakal membangunkan produk aircraft cabin refurbishment dan aircraft line maintenance sementara Global Turbine pula ‘design development’ dan ‘manufacturing of tooling and parts for aircraft’.

-NFN-