Categories
SELANGOR

Selangor sumbang KDNK terbesar tapi terima peruntukan terhad

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 NOV: Walaupun hanya menerima geran dan terimaan lain terhad berbanding negeri lain ditadbir Barisan Nasional (BN), namun Selangor kekal penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2015 negara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, manakala pertumbuhan KDNK Selangor bagi 2017 adalah 5.0 hingga 5.5 peratus berbanding unjuran Malaysia secara keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada kadar 4.0 – 5.0 peratus.

“Selangor kekal penyumbang terbesar KDNK bagi 2015 mewakili 22.6 peratus atau setara dengan RM240 bilion melebihi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kadar sumbangan pada 15.1 peratus.

“Ini menjadi penanda aras pencapaian Kerajaan Selangor memandangkan geran dan terimaan lain terhad Kerajaan Persekutuan berbanding Kuala Lumpur yang sememangnya penerima sumber serta perhatian pembangunan amat tinggi,” kata Dr Wan Azizah.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya pelaburan domestik dan asing setakat Jun 2016 sebanyak RM3.04 bilion melalui 130 projek diluluskan seperti dilaporkan MIDA menjadi bukti kemampuan dan kredibiliti Kerajaan Negeri menarik minat pelabur malah keyakinan pelabur terhadap sistem pentadbiran Selangor.

EZY