Categories
NASIONAL

Sistem perlesenan motosikal perlu dikaji semula

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Pelaksanaan sistem perlesanan bagi kelas B2 motosikal terlalu merumitkan dan memerlukan kajian menyeluruh di peringkat Persekutuan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mempertikai kaedah pembelajaran yang disifatkan terlalu ‘memakan masa’ dengan pengisian kelas tidak sepatutnya diberi penumpuan berlebihan.

“Ia terlalu merumitkan apabila pemohon perlu hadiri kelas teori, praktikal, kelas penjagaan motor sehingga 15 jam dan akhirnya pemohon lesen ini akan bosan.

“Kita perlu ambil kira kebanyakan pemohon ini golongan muda dan kalau tempohnya terlalu lama, mereka akan jemu.

“Atas perhatian itu, sistem ini memerlukan kajian menyeluruh di pihak Kerajaan Persekutuan dan agensi pihak berkuasa terlibat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Johari yang juga Ketua Whip KEADILAN menyarankan supaya wujud pertimbangan di pihak Persekutuan untuk menimbal balik pembarayan yuran perlesenan kereta dan motosikal seluruh negara.

JOHARI ABDULKatanya, tumpuan berkenaannya diperlukan sebagai galakan memastikan golongan muda memiliki lesen kenderaan secara sah.

“Saya sudah turun dan jalankan pemerhatian, ada sekolah memandu yang mengenakan cas dan yuran berlebihan.

“Lebih mengejutkan, ada yang mengenakan kadar RM500 dan lebih untuk memiliki lesen motosikal sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi mendedahkan 1.2 juta penunggang motosikal tidak memiliki lesen berdasarkan rekod perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jumlah itu berdasarkan penilaian lapan peratus jumlah penduduk Malaysia berkelayakan memiliki lesen kenderaan motosikal.

-AA-