Categories
SELANGOR

SMIC semarak agenda Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 27 NOV: Dalam usaha menjadikan Selangor sebagai Smart State, Kerajaan Negeri melangkah setapak lagi dengan Selangor Makers and Innovation Carnival (SMIC) 2016.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, karnival sulung itu merupakan platform khusus bagi meraikan komuniti pereka cipta (Makers) dalam kalangan masyarakat.

Katanya, SMIC memberi peluang Makers mempamerkan rekaan, membina jaringan baru selain menggalakkan lebih ramai untuk mula bereksperimen dan menghasilkan produk baru.

“SMIC turut berperanan mendedahkan orang ramai dengan teknologi terkini seperti pencetakan 3D, ‘drones’, ‘coding’ dan budaya Makers yang kini
berkembang pesat di seluruh dunia.

“Di Asia Tenggara, Malaysia sebenarnya adalah antara negara yang terkebelakang, berbanding Singapura, Thailand dan juga Vietnam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian SMIC 2016 di pusat membeli belah, The Strand di sini, semalam.

Seramai 35 kumpulan Makers dan pendidik STEM (Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik) mengambil bahagian dalam pameran kali ini.

Antara yang menarik adalah inovasi kerusi roda kawalan minda, pemanduan tanpa pemandu serta penyertaan Makers termuda berusia 11 tahun.

Selain itu, terdapat tiga ruang bengkel disediakan bagi tujuan demonstrasi dan kelas yang berjalan serentak dan percuma sepanjang hari.

=EZY=