Categories
SELANGOR

Tanah Runtuh: Polis isytihar zon merah, 64 rumah diarah dikosongkan

SERENDAH 26 NOV: Sebanyak 64 buah rumah diarahkan dikosongkan serta-merta bagi mengelakkan kejadian tidak diingini apabila Polis mengisytiharkan kawasan di sekeliling lokasi tanah runtuh di Taman Idaman sebagai Zon Merah.

Kira-kira 340 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 500 meter diberikan masa sehingga jam 1.45 petang ini untuk meninggalkan kediaman mereka hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R. Supramaniam berkata, setakat ini hanya enam keluarga dipindahkan dari kawasan tersebut.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati paras air yang mengalir di bawah tanah di kawasan tersebut semakin meningkat.

whatsapp-image-2016-11-26-at-10-42-39Agensi Pengurusan Bencana Selangor melaporkan, kesemua penghuni yang terjejas ditempatkan sementara di Sekolah Rendah Agama Serendah sebagai langkah keselamatan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor diarahkan umelakukan kerja pembaikan di lokasi terjejas.

Sementara itu SYABAS dalam kenyataan media menyatakan beberapa kawasan di Hulu Selangor sedang mengalami gangguan bekalan air sementara ekoran insiden tanah runtuh itu.

Kerja pembaikan paip pecah sedang giat dijalankan. Jangkamasa pemulihan tidak dapat ditentukan buat masa ini. Walau bagaimanapun, segala usaha sedang dilaksanakan untuk menyalurkan bekalan air alternatif.

Kawasan terlibat adalah Desa Melor, Desa Anggerik, Taman Idaman, Kampung Orang Asli Serendah dan Pusat Serenti Serendah.

tanah runtuhBantuan bekalan air sedang dihantar melalui lori tangki ke kawasan terlibat. Tangki air statik juga dibekalkan di penempatan sementara.

Pengguna boleh memohon bantuan bekalan air dengan menghantar SMS ke 15300 dengan menaip: TANKER <jarak>Nama& Alamat.

Pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja-kerja pembaikan ini melalui www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar “mySyabas”, Facebook“Puspel Syabas” atau “Air Selangor”.

=EZY=