Categories
NASIONAL

Tubuh pasukan pengaman negara Islam lindungi etnik Rohingya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 NOV: Pasukan tentera pengaman negara Islam perlu ditubuhkan segera bagi melindungi etnik Islam Rohingya di Myanmar daripada terus tertindas.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, insiden pembersihan etnik itu sepatutnya membuka mata pemimpin negara Islam seluruh dunia.

Beliau berkata, walaupun dunia memiliki tentera pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu, namun ia bukan di bawah kawalan negara Islam.

“Hari ini terdapat umat Islam yang merupakan minoriti di negara mereka berhadapan ancaman pembersihan etnik, pembunuhan beramai-ramai atau pengusiran dari kampung halaman mereka.

“Walaupun bilangan tentera pasukan (pengaman) itu kecil pada peringkat awal, namun ia memberi isyarat kepada dunia bahawa nasib minoriti umat Islam akan sentiasa dibela,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Iskandar berkata, tiada tanpa campur tangan pasukan tentera pengaman akan menyebabkan etnik Rohingya tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Cukuplah dengan pengalaman pembersihan etnik umat Islam Bosnia di Balkan, pada awal 90-an,” katanya.

-AA-