Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Saya faham pengalaman pahit Maria,” kata Anwar

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan polis yang menahan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), pada 18 November lalu.

Beliau berkata, jika pemimpin masyarakat madani seperti Maria boleh ditahan di bawah SOSMA, maka tiada seorang rakyat Malaysia akan selamat daripada terkena nasib sama.

Katanya, beliau turut memahami pengalaman pahit dialami Maria ketika ini berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Semasa penahanan saya di bawah ISA di Batu Cantonment yang mana saya percaya Maria sedang ditahan, tidur saya diganggu, dikenakan soal siasat tidak tentu waktunya dan amat mengelirukan, makanan serta keadaan kebersihan yang kurang memuaskan.

“Lampu terang dibiar terpasang dalam bilik tahanan siang dan malam,” katanya yang juga bekas Ketua Pembangkang dalam kenyataan.

AnwarAnwar berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengambil tanggungjawab ke atas penahanan Maria, malahan menganggap keengganan beliau mengambil tindakan itu tidak boleh dimaafkan.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Maria, BERSIH 2.0 dan rakyat Malaysia yang berani membanjiri Kuala Lumpur dengan semangat BERSIH 5, pada 19 November lalu.

“Saya amat berbangga dengan capaian rakyat Malaysia yang menunjukkan paparan perpaduan juga niat utuh yang disuarakan secara aman dan cukup bermaruah,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mendakwa penangkapan dan penahanan Maria tidak ada kena mengena dengan politik atau perhimpunan BERSIH 5.

Sebaliknya, beliau berkata, Maria sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen yang didakwa berdasarkan “dokumen” ditemui di pejabat BERSIH.

-AA-