Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

UNISEL rai pelajar India sempena Deepavali

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Sempena Deepavali, Pelajar berbangsa India di Universiti Selangor (UNISEL) tidak dilupakan apabila satu majlis sambutan perayaan itu diadakan di Dewan Pro Canselor, Kampus Shah Alam di sini, semalam

Ketika merasmikan majlis itu, Naib Canselor UNISEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Ridzuan Othman, berkata majlis seumpama itu mampu mengeratkan lagi hubungan antara kaum dalam kalangan pelajar UNISEL.

“Sebagai universiti yang di dalamnya ada pelbagai bangsa, saya harap majlis seperti ini dijadikan sebagai acara tahunan kerana kita perlu tekankan untuk menghormati orang lain terlebih dahulu sebelum orang lain menghormati kita,” kata Mohamad Ridzuan pada majlis yang julung-julung kali diadakan itu.

Jelasnya, program seumpama itu turut berupaya menjadi landasan pelajar India mengembangkan kreativiti mereka termasuk dalam persembahan kebudayaan mereka.

unisel-dewali-1“Masyarakat India di negara ini memiliki kecenderungan kuat terhadap seni kebudayaan mereka di mana ini suatu perkara yang perlu diteruskan khususnya bagi pelajar India di UNISEL,” katanya lagi.

Beliau turut menggalakkan pelajar dan kakitangan India di UNISEL memakai sari sebagai pakaian tradisional kaum itu.

Sementara itu dalam majlis yang dihadiri lebih 100 pelajar dan kakitangan UNISEL itu turut diadakan pelbagai persembahan yang menghiburkan.

-nR-