Categories
SELANGOR

Yayasan KUIS mohon tajaan pengajian 16 pelajar Palestin

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 14 NOV: Yayasan Kolej Univerisiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memohon sumbangan pendidikan atau menaja bagi membiayai 16 orang pelajar Palestin melanjutkan pengajian ke kolej itu.

Rektor Merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kuis, Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, KUIS dalam usaha membantu 16 pelajar Palestin demi kemajuan pendidikan dan umat Islam sejagat khususnya pada kemasukan November ini.

“Adalah menjadi harapan KUIS, permohonan ini dipertimbangkan agar pelajar Palestin ini diberi peluang melanjutkan pengajian demi kemaslahatan umat islam,” katanya dalam kenyataan.

Sebarang sumbangan boleh dikreditkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di 12029010065953 atau cek atas nama Yayasan KUIS.

kuis-1Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi Yayasan KUIS di talian 03-89117094.

KUIS merupakan sebuah institusi pendidikan yang menyediakan program pengajian akademik yang terteraskan tauhid dan sesuai dengan keperluan zaman kini serta keperluan fizikal yang seiring dengan halatuju pendidikan Islam dan Dasar Pendidikan Negara yang berkualiti.

Sehingga kini, seramai 9,032 pelajar mengikuti pengajian di bawah enam fakulti membabitkan Pusat Asasi, Pengajian Siswazah, Pengurusan dan Muamalah, Pengajian dan Peradaban Islam, Sains dan Teknologi Maklumat serta pendidikan.

Selain itu, terdapat 78 pelajar antarabangsa turut mengikuti pengajian di KUIS antaranya dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Amerika.

-nR-