Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM bakal ambil alih pengurusan sampah 3 PBT

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 DIS : Selepas Majlis Perbandaran Klang (MPK), Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) bakal mengambil alih pengurusan kutipan sampah membabitkan tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini menjelang 2017 depan.

Pengurus Besarnya, Ramli Mohd Tahir berkata, cadangan pengambilalihan tersebut dibuat selepas tempoh kontrak pengurusan sampah kontraktor terdahulu di tiga PBT berkenaan tamat.

“Sekiranya Kerajaan Negeri mengarahkan kita untuk proses pengambilalihan itu, kita akan terus jalankan gerak kerja itu.

“Bagaimanapun kami masih dalam peringkat perbincangan akhir, dan kita sedang menunggu beberapa proses akhir sebelum pengambilalihan berjalan,” katanya kepada SelangorKini.

img_20161013_174604_547Terdahulu, KDEB mengambilalih pengurusan operasi kutipan sampah domestik di kawasan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bermula 1 Julai 2016.

Untuk tempoh tersebut, kesemua kawasan kutipan sekitar Klang dipertangunggjawabkan di bawah bidang kuasa KDEB kecuali di Taman Sentosa dan Bandar Bukit Tinggi.

Dalam perkembangan sama, Ramli berkata pihaknya optimis mampu menguruskan kutipan sisa pepejal membabitkan keseluruhan kawasan PBT di Selangor dengan lebih bersistematik.

Beliau berkata, jaminan tersebut dibuat selepas mengambil kira kejayaan dibuat pihaknya menguruskan masalah kutipan sampah di Klang sejak enam bulan lepas.

“Setakat ini kami menerima maklumbalas positif daripada masyarakat sekitar perbandaran Klang dan kami tidak akan terus berasa selesa dengan kejayaan ini.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik berdasarkan peruntukan yang ada untuk membaiki lagi mutu perkhidmatan pengurusan sampah di kawasan ini,” katanya.

-nR-