Categories
SUKANKINI

Bengals RC harumkan Selangor muncul juara kejohanan ragbi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 DIS: Kelab Ragbi Bengals (Bengals RC) terus mengharumkan nama Selangor apabila muncul juara kategori Bawah 14 Tahun di Kejohanan Mersing Monsoon Rugby Challenge 2016, baru-baru ini.

Naib Presiden Bengals RC, Mohd Faeez berkata, kejuaraan dicapai menerusi pasukan utama, Bengals RC A sementara pasukan kedua, Bengals RC B menduduki tempat kedua bagi Kategori Plate.

Katanya, kelab dari Klang itu turut membolot Anugerah Pemain Terbaik menerusi Muhammad Haririe Norazlan, Anugerah Pemain Forward Terbaik (Afif Akmal Mohd Irwan) dan Anugerah Pemain Backline Terbaik (Hariz Ezzat Hamidon).

“Pengurusan Bengals RC komited mempromosi sukan ragbi dalam kalangan pelajar sekolah daerah Klang dan berharap memartabatkannya di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Sejak didaftarkan secara rasmi pada 2015, kelab ini aktif menyertai pelbagai kejohanan tempatan bertaraf antarabangsa dan juga kejohanan di luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Faeez berkata, Bengals RC mempunyai lebih 100 orang pemain berumur 8 hingga 16 tahun sehingga kini.

“Kami sentiasa mengalu-alukan jika ada pelajar yang ingin menyertai Bengal RC dalam usaha melahirkan remaja cergas, cerdas serta berdisiplin menerusi sukan ragbi.

“Kami juga berharap mereka akan berjaya di dalam kedua-dua bidang sukan dan juga akademik,” katanya.

=EZY=