Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Binaan diroboh atas rizab JPS, bukan tanah hak milik Jamal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 24 DIS: Dakwaan pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Datuk Seri Jamal Md Yunos kononnya beliau gagal mendapatkan kelulusan merancang ke atas binaan terbengkalai yang dirobohkan baru-baru ini disebabkan diskriminasi politik tidak berasas sama sekali.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Khairuddin Md Som berkata, sebaliknya MDSB tidak memberikan kelulusan apabila struktur terbabit bukan dibina di dalam kawasan tanah hak milik Jamal tetapi di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu kira-kira 20.1 meter dari pantai.

“Bangunan terbengkalai bersebelahan resort ini didirikan sejak 2011 lagi. Pada Februari 2013, pejabat ini ada mengeluarkan notis kepada pengusaha agar mengosongkan tanah kerajaan berkenaan.

roboh“Sekiranya ada permohonan sekali pun, kita tak boleh luluskan sebab tanah berhadapan Selat Melaka ini ada ban dan jika ban pecah, siapa yang perlu bertanggungjawab? Kita tak mahu ada masalah pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di pejabat MDSB di sini, semalam.

Jelasnya, tindakan merobohkan struktur 11 struktur terbengkalai itu dibuat mengikut Seksyen 425 dan 426A (1) (C) Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

Bagaimanapun katanya, pihak MDSB tidak melaksanakan kerja meroboh bangunan di resort berkeluasan 0.9 hektar yang berada di dalam hak milik persendirian.

Jelas Mohd Khairuddin lagi, kawasan resort terletak dalam kawasan hak milik persendirian itu pada asalnya tanah pertanian sebelum ditukar kepada tanah bangunan perniagaan dan dibayar premium pada Mei tahun lalu.

=EZY=