Categories
SELANGOR

Cukai taksiran: MPS keluarkan 29,318 waran tahanan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 28 DIS: Sebanyak 29,318 waran tahanan dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kepada pemilik harta yang mempunyai tunggakan cukai RM200 ke atas, sejak 6 Oktober lalu.

Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya mengambil tindakan sita ke atas harta alih, pada setiap minggu kepada pemilik yang masih gagal melunaskan tunggakan cukai dalam tempoh tujuh hari selepas waran dikeluarkan.

“Jabatan Perbendaharaan mengeluarkan 198,274 bil cukai taksiran untuk penggal pertama, pada 2017.

“Sehingga 30 November lalu, kutipan cukai taksiran semasa adalah RM83.25 juta iaitu 86.24 peratus daripada RM96.53 juta, manakala MPS mengutip RM7.35 juta tunggakan daripada RM11.04 juta jumlah keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Penuh MPS, di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, Suliman berkata, pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan bayaran bagi memudahkan orang ramai menjelaskan cukai taksiran antaranya ibu pejabat MPS, cawangan bank terpilih serta perbankan internet.

-AA-