Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Kuala Selangor terima lebih sejuta pelancong sepanjang 2016

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 DIS: Kuala Selangor menerima lebih sejuta pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang 2016, kata Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan.

Beliau berkata, jumlah kunjungan itu meliputi dua destinasi pelancongan utama iaitu Bukit Melawati dan Kelip-kelip Kampung Kuantan.

Katanya, ia meningkat sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah pengunjung kebiasaannya meningkat dari tahun ke tahun dan kita dapat lihat jumlah pelancong dari luar negara juga meningkat terutama pelancong Korea Selatan.

“Dengan kunjungan yang semakin memberangsangkan, MDKS komited untuk menaik taraf kemudahan agar selari dengan standard antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Medan Selera Fasa Dua di Pusat Pelancongan Pantai Remis, di sini, hari ini.

Noraini berkata, Kampung Kuantan masih menawarkan jumlah kelip-kelip banyak untuk tatapan dan kepuasan pelancong.

“Terdapat dakwaan kelip-kelip semakin berkurangan tetapi yang dimaksudkan itu bukan di Kampung Kuantan sebaliknya lokasi sebelum Bukit Belimbing.

“Masih banyak kelip-kelip di Kampung Kuantan malah kita menerima tajaan pihak swasta untuk pemeliharaan kelip-kelip.

“Bagaimanapun, kita juga tidak dapat menerima kunjungan melebihi 40 bot disediakan kerana dikhuatiri menganggu habitat kelip-kelip yang unik,” katanya.

=EZY=