Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Elak tragedi berulang, siasat insiden pesawat terhempas

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 DIS: Siasatan telus dan teliti perlu dijalankan sebagai jaminan insiden pesawat terhempas tidak berulang, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

azmin-parlimenBeliau yang juga Dato’ Menteri BEsar Selangor berkata, siasatan tersebut diperlukan sebagai asas mengenalpasti punca berlakunya insiden yang mengorbankan juruterbang TUDM di Pangkalan TUDM Butterworth, pada 5.18 petang, semalam.

“Sedih menerima berita Mejar Kayamboo Chellam, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terkorban dalam insiden pesawat terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM, petang semalam.

“Siasatan telus dan teliti harus dijalankan bagi mengenalpasti punca tragedi agar tidak berulangan,” katanya di Facebook.

Dalam kejadian itu, tiga lagi parah selepas pesawat jenis Beechcraft King Air 200T dinaiki mereka terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan TUDM Butterworth.

TUDM dalam satu kenyataan menyatakan kejadian itu berlaku berhampiran Terminal Peluru Pangkalan TUDM, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kejadian sama tidak berulang.

“Takziah pada keluarga arwah dan seluruh warga TUDM. Doa untuk tiga kru udara yang cedera parah agar selamat,” katanya.

-NFN-