Categories
SELANGOR

Enakmen Lambang dan Nama dilulus lindungi darjah kebesaran Kesultanan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama bagi melindungi darjah dan bintang dianugerahkan DYMM Sultan Selangor demi mencegah disalah guna pihak tertentu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan itu perlu dilakukan kerana darjah dan bintang kebesaran Kesultanan Selangor memiliki nilai dan martabat yang utuh lagi tinggi.

“Kerajaan Negeri bersungguh hati untuk mempertahankan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai mata air kedaulatan dan tiang seri perpaduan.

“Justeru Kerajaan Negeri meluluskan enakmen berkenaan bagi mencegah daripada salah guna seperti ditetapkan dan dikhabarkan mendorong beberapa negeri lain untuk mengambil langkah sama,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian dalam ucapannya di istiadat penganugerahan darjah dan bintang kebesaran sempena hari keputeraan ke 71 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Iatana Alam Shah, di sini, hari ini.

Turut menyertai Baginda dalam majlis itu, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis turut dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain serta semua penerima darjah dan bintang kebesaran.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan berpegang kepada falsafah pentadbiran dinukilkan Raja Ali Haji dalam kitab “Thamarat al-Muhimmah Diyafat lul Umara wal Kubara, li Ahlil Mahkamah” supaya Selangor tidak terjerumus dalam amalan, kleptokrasi yang membawa aib besar kepada bangsa dan negara serta membuat rakyat sengsara.

Katanya, pemerintahan dipilih rakyat atau sistem demokrasi wajar menggalas amanah untuk membangun bangsa dan memakmur negeri dengan kuasa tidak boleh disalahguna.

“Alhamdulillah, Laporan Ketua Audit Negara 2015 memberikan penarafan sangat baik kepada prestasi perbelanjaan pembangunan Negeri Selangor.

“Kedudukan kewangan dan rizab negeri yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri meluluskan belanjawan terbesar bagi 2017 berjumlah RM 3.45 bilion.

“Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembangunan tertinggi iaitu 52.2 peratus manakala belanja mengurus dikurangkan kepada 47.8 peratus,” katanya.

=EZY=