Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Fiesta Selangor 2016 tonjol perpaduan antara kaum

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 DIS: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Fiesta Selangor 2016 yang akan diadakan, pada 24 dan 25 Disember ini.

Pengerusi Pelaksana, Afzainizam Abdul Rahman berkata, fiesta itu diadakan bertujuan mendedahkan pelbagai aktiviti yang diminati golongan remaja, belia dan masyarakat awam dalam memastikan masa mereka diisi dengan sebaik mungkin.

Katanya, secara tidak langsung program itu merapatkan lagi perpaduan antara kaum, melahirkan remaja yang sihat dan menerapkan budaya bersukan daripada peringkat akar umbi.

image“Fiesta yang julung kali diadakan ini dapat mewujudkan cara hidup sihat dan membentuk intelektual serta modal insan kepada golongan belia,” katanya dalam sidang media, di sini.

Afzainizam berkata, program terbabit turut membantu usahawan mempromosikan produk mereka serta memartabatkan golongan belia.

“Diharapkan, aktiviti ini akan mencapai matlamat serta memberi impak positif kepada masyarakat Shah Alam terutama anak muda,” katanya.

Fiesta itu akan bermula jam 6 hingga 10 pagi di Stadium Shah Alam yang dijangka dirasmikan Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shahri.

Antara aktiviti yang diadakan ialah acara drift dan gymkana, seni pertahankan diri, Fun Run (skelaton run), ragbi, bola sepak sembilan sebelah dan badminton yang turut diselitkan program ceramah agama juga bazar fesyen serta ‘autoshow’.

Fiesta Selangor 2016 diadakan Angkatan Muda KEADILAN Selangor dengan kerjasama Exco Belia dan Sukan, Pejabat Khidmat DUN Kota Anggerik, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Penggerak Belia Tempatan (Pebt) MBSA dan Majlis Perbandaran Klang.

-NFN-