Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelan Strategik MPSepang lahir perbandaran sejahtera 2020

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) giat melaksanakan Pelan Strategik 2016-2020 sebagai inisiatif menjadikan perbandarannya sebagai sebuah bandar sejahtera dan hijau menjelang 2020.

Misinya tertumpu kepada usaha merealisasikan MPSepang sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mampu menyediakan perkhidmatan terbaik dalam memastikan jaminan kesejahteraan masyarakatnya.

MPSepang dalam kenyataannya berkata, komponen utama pelan tersebut termasuk inisiatif memastikan bandar Sepang sebagai perbandaran bersih serta penggunaan teknologi hijau asas pentadbirannya.

“Tumpuannya termasuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang terbaik dengan membudayakan amalan kitar semula juga pengasingan sampah.

earthday2012-500“Selain itu, pelaksanaan program penghijauan bersama masyarakat dengan membudayakan amalan hijau dalam penggunaan peralatan ICT melalui konsep 3R,” kata kenyataan itu.

Teras pengukuhan pembangunan mampan dengan penyediaan pelbagai program mewujudkan masyarakat harmoni turut dilaksanakan untuk tempoh tersebut.

Inisiatif tersebut termasuk pelaksanaan projek pembangunan secara komited dan kolaboratif yang berkesan membabitkan anggota masyarakat di sekitar perbandarannya.

“Pelaksanaan projek selaras dengan pembangunan masyarakat setempat termasuk mewujudkan ‘Blue Print Penjaja’ daerah Sepang dan menjadikan (pengurusan) sebagai amalan terbaik.

“Selain itu, tumpuan lain termasuk meningkatkan imej bandar Cyberjaya, Bandar Baru Salak Tinggi, pekan Dengkil dan Pantai Bagan Lalang serta menjadikan Sepang sebagai destinasi pelancongan negeri,” katanya.

Pada masa sama, MPS juga fokus memastikan urusan pentadbirannya lebih cekap dengan melahirkan warga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

“Pembangunan ICT tentunya menyokong perkhidmatan bersepadu dan cemerlang. Untuk merealisasikan gagasan tersebut, warga pengurusan dididik untuk melahirkan warga kerja berintergiti dan patuh kepada peratuan juga perundangan,” katanya.

-NFN-