Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Firma penyelidik ramal inflasi 2017 meningkat

OLEH MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 27 DIS: Firma penyelidikan, Nomura Research menjangkakan inflasi Malaysia bakal meningkat setinggi 2.8 peratus pada 2017 berbanding peningkatan purata 10 bulan sebanyak 2.1 peratus pada tahun ini.

The Edge Markets melaporkan kenaikan itu disebabkan kenaikan harga barangan yang dijana oleh kelemahan berterusan nilai ringgit.

“Tatkala rakyat Malaysia di ambang menyambut 2017, mereka berdepan dengan ringgit yang lemah dan harga makanan yang semakin mahal. Perbelanjaan pengguna akan berkurangan ekoran barang yang diimport menjadi lebih mahal, menaikkan inflasi.

“Ia didorong terutamanya oleh kesan asas daripada harga bahan api,” kata Nomura Research.

Prestasi nilai ringgit terburuk jatuh sejak 1998 apabila menjunam ke RM4.4810 berbanding USD1 pada 19 Disember lalu.

Sebelum ini, Mantan Timbalan Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, sekiranya penyusutan ringgit berterusan, nilai ringgit bakal mencecah ke paras RM5 bagi setiap 1 dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun hadapan.

Katanya, jumlah hutang negara yang semakin tinggi dengan tanpa kawalan ketat turut menjejaskan ringgit ekoran semua transaksi bayaran hutang hanya boleh dibuat dalam mata wang asing seperti dolar AS atau mata wang asing lain sekaligus melemahkan ringgit.

Beliau berkata harga pasaran kenderaan tempatan dan import yang dipasang di negara ini dijangka bakal meningkat sekitar 5 hingga 10 peratus ekoran trend berterusan kejatuhan nilai ringgit.

Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan naik pada kadar lebih tinggi sebanyak 1.8 peratus pada November 2016 kepada 116.9 daripada 114.8 pada bulan sama tahun lepas.

Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi November 2016 naik sebanyak 1.0 peratus berbanding Oktober 2016

Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada November 2016, dengan kenaikan 3.4 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan November 2016 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+45.6 peratus); ayam (+10.0 peratus); sotong (+7.8 peratus); Ikan Tenggiri (+7.2 peratus); Ikan Kembong (+5.4 peratus); udang (+4.8 peratus) dan Ikan Merah (+4.5 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti lobak merah (-9.2 peratus); bawang besar (-7.5 peratus) dan tomato (-3.6 peratus).

=EZY=