Categories
SELANGOR

Food Mega Karnival pamer fenomena hipster, food truck

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 DIS: Konsep hipster dan food truck diketengahkan sempena penganjuran Food Mega Karnival di tapak letak kenderaan, Stadium Melawati, di sini.

Tampil dengan citarasa lebih mesra golongan belia, konsep itu dilihat menjadi tarikan lebih 10,000 pengunjung yang mula berkunjung ke tapak karnival sejak ia mula dibuka, pagi ini.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, penganjuran karnival itu merupakan sebahagian daripada insiatif Kerajaan Negeri menggalakkan golongan muda terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Ini merupakan inisiatif baru Kerajaan Negeri memberi dorongan dan galakan supaya lebih ramai golongan muda menyertai bidang keusahawanan untuk menjana lebihan pendapatan masing-masing.

“Karnival seumpama ini mampu menjadi titik tolak kepada golongan muda untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Food Mega, di sini hari ini.

Dalam perkembangan itu, terdapat lebih 30 ‘food truck’ dan gerai jualan yang menjual pelbagai jenis makanan ala hipster dan moden, sesuai dengan tema karnival berkenaan.

Sementara itu, hasil pemerhatian SelangorKini, rata-rata peniaga menjual makanan jenis barat seperti Pasta, Grill, makanan sejuk beku yang dijual pada kadar serendah RM6.00 setiap satu set.

Karnival turut dimeriahkan dengan persembahan pemuzik gig dan busker yang memainkan lagu-lagu terkini, seiring selera dan kehendak golongan belia kini.

Kemuncak karnival, Amirudin bersama beberapa pimpinan muda negeri bersama-sama pengunjung menghitung (countdown) detik jam 12 malam, tahun baru 2017.

=EZY=