Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

GABUNGAN: Selamatkan Red Giants

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 DIS: Gabungan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (GABUNGAN) mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali melakukan rombakan pentadbiran segera yang didakwa semakin kucar-kacir di bawah kelolaan Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, FAS perlu berusaha memastikan Selangor bersaing dalam kancah liga musim 2017 dan mempertimbangkan nasib pemain yang masih mempunyai baki kontrak bersama Red Giants.

“Kita mahu Presiden mengusahakan pasukan Liga Super Selangor dapat bersaing musim hadapan sama ada memberikan atau tidak memberikan dana daripada Kerajaan Negeri tanpa mempersia-siakan bakat juga masa depan pegawai dan pemain yang banyak berjasa,” katanya.

Katanya, skuad Liga Super Selangor perlu diasingkan daripada FAS supaya tiada campur tangan dalaman untuk mencorakkan pasukan selain menyerahkan tugas pengurusan dan kejurulatihan kepada individu berwibawa.

“Kita juga mahu hubungan baik antara kelab penyokong Selangor dan persatuan dipulihkan. Selama dibawah pentadbiran Rosman, penyokong atau kelab penyokong tidak dilayan dengan baik.

img_20161209_105848_202“Malahan, ada kalanya dilayan lebih teruk dari penyokong pasukan lawan. Hampir tiada kerjasama dan suara penyokong tidak dipandang,” katanya.

GABUNGAN dengan sokongan 11 kelab penyokong seluruh Selangor hari ini mengemukakan satu memorandum kepada Mohamed Azmin supaya kegemilangan skuad Red Giants dapat dikembalikan menjelang permulaan Liga Super 2017, pada 20 Januari ini.

Memorandum yang diserahkan Mohd Faizal diterima Pegawai Media Pejabat Dato’ Menteri Besar, Shahril Said di Lobi SUK, Selangor.

-AA-