Categories
GLOBAL

Gempa bumi kuat Solomon jejas ratusan penduduk

WELLINGTON 10 DIS: Gempa bumi berskala kuat menggegarkan Kepulauan Solomon untuk dua hari berturut-turut pagi ini dengan terbaru pada kekuatan 6.9 magnitud.

Amaran tsunami awal dikeluarkan oleh Pusat Amaran Tsunami Pasifik untuk beberapa pulau di Laut Pasifik bagaimanapun dibatalkan beberapa jam selepas gempa.

Gempa jam 6.10 pagi waktu tempatan (1910 GMT Jumaat) berpusat di 90 kilometer ke barat Kirakira pada kedalaman 10km, demikian menurut Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Sebelum ini, ratusan rumah penduduk di kawasan terpencil di Kepulauan Solomon mengalami kerosakan atau musnah selepas gempa kuat 7.7 magnitud.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan setakat ini tiada lagi laporan mengenai kemalangan jiwa dengan tsunami kecil dilaporkan berlaku di kepulauan itu serta beberapa pulau Pasifik lain.

Jurucakap sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan, World Vision’s Pacific Timor-Leste, Suzy Sainovski yang berada di ibu negara Honiara, terdapat kesukaran untuk mendapatkan gambaran sebenar kesan gempa disebabkan penduduk tinggal terpencil dengan sesetengah tempat tiada hubungan komunikasi.

“Ada beberapa laporan awal menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 3,000 penduduk terjejas. Sesetengahnya terdiri kediaman tradisional iaitu rumah bajang yang diperbuat menggunakan bahan pertanian,” katanya.

Gempa berlaku berhampiran Pulau Makira.

Sainovski berkata, hospital, gereja dan beberapa bangunan termasuk pejabat World Vision di bandar Kirakira di pulau terbabit, dilaporkan mengalami kerosakan.

Micha Maghe, penyelaras projek kesihatan dan sanitasi World Vision di Kirakira berkata gempa berkenaan amat menggerunkan.

“Apabila saya berlari keluar, saya dengar kanak-kanak menangis, penduduk menjerit.

“Kami semua berkumpul di sebuah sekolah dan saya lihat penduduk bergegas mencari tanah tinggi. Mereka dalam keadaan panik dan ketakutan,” katanya.

=EZY=