Categories
SELANGOR

Generasi muda disaran berani tempuh cabaran getir 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 DIS : Golongan belia disaran untuk lebih bersedia mendepani sebarang cabaran yang bakal dilalui sepanjang tahun baru 2017, kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Mengakui 2017 bakal memberikan cabaran yang lebih getir buat golongan itu, Amirudin menjangkakan belia di negeri ini turut terkesan dengan kemelut dan situasi ekonomi negara yang kian meruncing kini.

“Golongan muda dan belia perlu bersedia untuk lebih kuat menghadapi pelbagai cabaran mendatang yang dijangkakan lebih sukar untuk tempoh 2017.

“Namun kita tetap optimis, cabaran itu mampu ditangani berdasarkan prinsip dan asas pentadbiran Kerajaan Negeri yang kukuh dan budaya kerja yang ditunjukkan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Food Mega, di perkarangan Stadium Melawati, di sini hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri terus konsisten memastikan golongan belia di negeri ini tidak tercicir menerima pelbagai bentuk kemajuan menerusi inisiatif dan bantuan terhadap golongan itu.

Bahkan untuk tempoh 2017, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut mengumumkan sejumlah peruntukan RM5 juta, tertumpu kepada prospek pembangunan belia menerusi program PROGRESS.

=EZY=