Categories
KENYATAAN MEDIA

Hentikan pembunuhan beramai-ramai di Aleppo

OLEH: Angkatan Belia Islam Malaysia

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melalui agensi bantuan kemanusiaan Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) mengikuti rapat perkembangan terkini yang berlaku di Aleppo, Syria.

ABIM menzahirkan rasa kesal dengan tindakan sepi pemimpin-pemimpin dunia Islam dan juga kegagalan kuasa besar dunia untuk menghentikan pembantaian dan pembunuhan rakyat Syria di Aleppo.

Namun begitu, perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada awal pagi ini (waktu Malaysia) memberikan sedikit kelegaan dan sinar harapan namun ABIM menilai masih terlalu awal untuk mengatakan perjanjian tersebut mampu untuk dilaksanakan dengan sebaiknya.

Perjanjian di antara wakil Russia dan juga pejuang pembebasan Syria berlaku setelah tentera pro rejim Syria menggambarkan kesediaan mereka untuk menawan semula Aleppo secara keseluruhannya.

Pasukan tentera pro rejim Syria telah memperhebatkan kemaraan mereka ke kawasan yang telah dibebaskan oleh pejuang pembebasan Syria (FSA) semenjak dua minggu yang lalu setelah melakukan pengepungan selama berbulan-bulan.

Kemaraan tentera Rejim Syria mencapai kemuncaknya pada Isnin yang lalu dan telah menyaksikan kawasan-kawasan yang telah dibebaskan oleh FSA semenjak empat tahun yang lalu jatuh satu per satu kepada penguasaan rejim Syria.

Laporan menyebutkan hanya beberapa kawasan dalam lingkungan 10 kilometer persegi sahaja yang masih belum dikuasai dan terdapat di dalamnya lebih 100,000 penduduk Aleppo yang terkepung termasuk pejuang pembebasan yang masih bertahan.

aleppo-fallenKemaraan tentera pro rejim Syria pada Isnin lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 82 orang awam terbunuh di mana PBB mengklasifikasikan ia sebagai bencana kemanusiaan yang total/kritikal (complete meltdown of humanity).

Rupert Colville yang merupakan jurucakap PBB mengatakan bahawa mereka yang terbunuh adalah daripada 4 buah kawasan iaitu Bustan alQasr, al-Fardous, al-Kallaseh dan juga Salahuddin termasuk 11 orang wanita dan 13 orang kanak-kanak.

Sebahagian daripada mereka mati ditembak ketika cuba untuk melarikan diri daripada pertempuran yang berlaku malah ada di antara mereka yang ditembak mati di dalam rumah apabila tentera pro rejim Syria Berjaya menguasai kawasan-kawasan tersebut.

Laporan-laporan lain juga menyebutkan ada sebahagian daripada mangsa mati dibakar hidup-hidup dan ditembak mati selepas menjadi mangsa rogol oleh tentera yang tidak berperikemanusiaan.

PBB juga melaporkan lebih 37,000 orang telah keluar dari Timur Aleppo dan mendapatkan perlindungan di Barat Aleppo ataupun di pinggir-pinggir bandar.

Sekurang-kurangnya 14,700 orang terpaksa berhimpit di dalam rumah-rumah perlindungan termasuk di kilang pembuatan kapas di dalam suasana musim sejuk yang menambahkan kesengsaraan mereka.

ABIM dan MLLFS menggesa untuk satu koridor kemanusiaan dibuka bagi memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan terutama dari sudut rawatan kecemasan hospital dan juga bantuan makanan dan minuman kepada lebih 100,000 penduduk Aleppo yang masih terkepung di samping jaminan evakuasi mereka yang masih berada di dalam berjalan dengan baik tanpa ada risiko eksekusi atau ditangkap.

ABIM dan MLLFS juga dengan tegas mengutuk pembunuhan beramai-ramai dan juga pembantaian berterusan rakyat Syria yang yang mendapat ‘persetujuan’ seluruh pemimpin dan kuasa besar dunia ini dan menegaskan pendirian bahawa Presiden Syria, Bashar Assad dan juga Russia termasuk sekutu keduanya harus dipertanggungjawabkan di atas kekejaman ini dan konflik di Syria yang memasuki tahun keenam ini harus dihentikan bagi mengelak lebih ramai mereka yang tidak berdosa terkorban dan merana.

MLLFS dalam masa yang sama sedang melaksanakan kempen Bantuan Musim Sejuk Syria yang dijangka akan membantu rakyat Syria berhadapan dengan musim sejuk dan dijangka berangkat pada Januari 2017.

Sasaran sumbangan adalah sebanyak RM500,000 dan ianya boleh disampaikan melalui atas talian melalui pautan berikut : www.billplz.com/winteraidsyria