Categories
SELANGOR

Imigresen Selangor pertingkat kawalan sempadan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 DIS: Jabatan Imigresen Negeri Selangor berikrar akan mempertingkat kawalan di dua pintu masuk utama ke Selangor bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) dan kumpulan militan Daesh.

Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, segala aspek akan dipertingkatkan bagi perkukuh organisasi supaya lebih mantap terutama dalam penyaluran maklumat kepada orang awam.

“Kita akan meningkatkan operasi dan memantapkan organisasi. Operasi akan kita lakukan seperti biasa serta akan mengawal kemasukan PATI di dua pintu masuk utama, Pelabuhan Klang dan Terminal 3 Subang,” katanya.

img_20161201_151214_962Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian di Atria Warisan, Kompleks PKNS yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad.

Menurut Omran, pameran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (MBOS) JIM4U dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Badan-Badan Berkanun yang berkait rapat dengan Imigresen bertujuan untuk menyalurkan maklumat terus kepada masyarakat.

Pameran ini berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Disember 2016.

Mengulas mengenai kemasukan plarian Rohingya, Omran menjelaskan setakat ini keadaan di Selangor terkawal dan Imigresen Selangor akan menyerahkan pelarian berdaftar kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) sekiranya mereka ditangkap dalam operasi dilakukan.

-nR-