Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Khusrin tak sangka terima Anugerah Umar Abdul Aziz

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 DIS: Bekas Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi tidak menyangka diberikan Anugerah Umar Abdul Aziz sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1438H/2016M, semalam.

Mohamed Khusrin berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawab diamanahkan kepadannya sebaik mungkin seperti dituntut dalam Islam.

“Syukur atas penghargaan ini dan saya tidak menjangkakan akan diberi penghargaan atas sumbangan ‘taklah seberapa’,” katanya selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Malawati, di sini.

Mohamed Khusrin semasa berkhidmat dikenali sebagai seorang yang berdidikasi dengan matlamat mahu penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, intergriti, menepati masa juga memberikan perkhidmatan mesra rakyat.

Antara jawatan yang pernah disandang adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Setiausaha di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Ketua Penolong Setiausaha Dewan/Protokol di pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Sementara itu, bekas Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah yang menerima Anugerah Khalid Al-Walid pula menyifatkan anugerah berkenaan membakar semangatnya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat walaupun sudah bersara sejak tiga tahun lalu.

img_20161212_130722_442Katanya, anugerah diterima itu sesuatu yang bermakna buat dirinya ekoran Khalid Al-Walid adalah panglima angkatan perang Islam yang tidak pernah tewas dalam peperangan.

“Dia seorang strategis dalam peperangan hinggak kebijaksanaannya menyebabkan dia tidak pernah kalah dalam peperangan walaupun ada masanya memiliki bilangan tentera yang sangat kecil berbanding tentera lawan,” katanya.

Penerima Anugerah Saidatina Khadijah, Profesor Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali berkata, anugerah diterimanya itu menuntut tanggungjawab juga amanah besar.

“Anugerah ini kurniaan Allah yang berkaitan dengan soal tanggunjawab dan amanah yang saya jalankan sebagai seorang muslim kerana seorang muslim itu adalah hamba dan khalifah Allah,” katanya.

Dr Khadijah yang bertugas sebagai Profesor Madya dalam bidang akidah dan pemikiran Islam di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) juga terlibat dengan Panel Pakar Bidang Perbandingan dan Dialog Antara Agama, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, Anugerah Imam Al-Ghazali dikurniakan kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Dato’ Aidit Ghazali, sementara Bilal Kamarudin menerima Anugerah Saidina Ali.

-AA-