Categories
SUKANKINI

Klinik badminton RSS cungkil bakat baru

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 40 peminat sukan badminton remaja dari Sabak Bernam mengikuti klinik badminton kendalian bekas pemain perseorangan negara, Jason Wong di SBBC Arena Badminton Centre, Sungai Besar.

Jason yang juga pengarah program berkata, klinik badminton itu bertujuan memberi pendedahan kepada remaja berkenaan galakan hidup sihat, di samping mencegah daripada terjebak dalam gejala sosial juga aktiviti tidak berfaedah.

“Peserta juga diajar untuk menanam budaya dan minat bersukan, pendedahan ilmu juga merapatkan hubungan kemasyarakatan melalui sukan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, salah seorang peserta, Muhamad Amir Al-Hafiz Shah, 15, berkata, beliau mula meminati sukan terbabit selepas menonton Sukan Olimpik di Rio, pada Ogos lalu.

Katanya, beliau merasa bertuah kerana dapat mempelajari asas permainan badminton daripada jurulatih profesional memandangkan kos untuk menyertai sukan itu agak tinggi.

“Selain teknik pukulan, saya juga diajar cara melakukan servis dan pergerakan badan dengan betul”, katanya yang juga pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

237a4023Bagi Juliana Kelana, 16, beliau berpendapat program itu bermanfaat untuk golongan remaja terutama bagi mengisi masa lapang ketika musim cuti sekolah.

“Saya dan kawan-kawan tidak melepaskan peluang untuk turut serta kerana di sekolah kami tiada latihan dan kemudahan gelanggang seperti ini selain ingin menambah ilmu dalam sukan badminton”, kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz itu.

Program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) itu adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat “Sukan Untuk Semua” di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS).

Ia bermula sejak Oktober lalu sehingga Februari 2017 merangkumi lapan jenis sukan iaitu badminton, sepak takraw, skuasy, memanah, renang, boling, bola sepak dan lumba basikal dengan jumlah dana RM1.1 juta.

Golongan yang disasarkan untuk mendapat manfaat daripada program ini” adalah pelajar sekolah rendah dan menengah, golongan kurang berkemampuan, warga emas, orang kelainan upaya juga masyarakat umum.

-AA-