Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Aktivis imbas prosiding tanpa asas undang-undang

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 DIS: Panel Tatatertib Universiti Malaya (UM) yang menjalankan prosiding pertuduhan ke atas aktivis mahasiswa, Anis Syafiqah Md Yusof atas tuduhan terlibat dengan himpunan #TangkapMO1, baru-baru ini didakwa dianggotai pegawai yang tidak mempunyai asas undang-undang.

Anis berkata, anggota tatatertib juga gagal membuktikan penglibatannya dalam perhimpunan itu merosakkan nama baik UM dan memudaratkan keselamatan awam.

“Mereka yang menjalankan prosiding itu tidak mempunyai asas undang-undang, malahan lebih pelik pihak yang menuduh juga duduk sebaris bersama ahli panel ketika menjalankan prosiding.

“Mereka mendakwa saya berdasarkan apa yang mereka jumpa di media sosial,” katanya sebagai panelis forum berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di pejabat Malaysiakini, di sini, malam tadi.

Forum itu turut menampilkan mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anis berkata, selain digantung pengajian selama satu semester, beliau turut diberi amaran dan dikenakan denda RM400 kerana terlibat dalam himpunan #TangkapMO1 di ibu negara, pada Ogos lalu.

“Tindakan itu adalah satu lagi bukti jelas bahawa pentadbiran institusi pengajian tinggi di Malaysia dijadikan alat oleh pihak mempunyai kepentingan politik untuk menakut-nakutkan gerakan mahasiswa yang berani menyatakan kebenaran,” katanya.

-AA-