Categories
SELANGOR

Konsep Smart Selangor jadi tarikan Rumah Selangor di MAHA 2016

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG 6 DIS: Gagasan Smart Selangor dijadikan tema rumah atau pavilion negeri itu, di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016).

Berkonsepkan elemen Smart Selangor Agro Edible Landskap, orang ramai berpeluang melihat atau mempelajari konsep pertanian bandar atau ‘Urban Agriculture’ yang diketengahkan.

Berbeza dengan 13 negeri lain, Pavilion Selangor menampilkan penggunaan teknologi moden dari tayangan video, ternakan mahupun tanaman selaras hasrat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu menjadikan Selangor ke arah mencapai Smart State dan Smart City.

Pegawai Penyelaras Pavilion Selangor, Faizah Munirah Johar berkata, pihaknya menekankan elemen tanaman bandar supaya memberi inspirasi kepada penduduk bercucuk tanam mahupun menternak secara moden dan tidak bergantung kepada bidang tanah yang besar.

“Urban Agriculture merupakan satu cara melaksanakan sistem pertanian dibandar (Urban Farming) yang semakin diperkatakan.

“Disesetengah bandar pesat dengan jumlah penduduk yang ramai contohnya di Selangor menyebabkan kawasan kediaman semakin padat dan dipenuhi dengan bangunan pencakar langit.

rumah-selangor“Jadi, kaedah ini sangat penting sebagai kesedaran mengenai peranannya masa depan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata kaedah itu mungkin agak kurang jelas maksudnya bagi sesetengah orang kerana pemikiran masih membayangkan kawasan tanaman, ternakan atau perikanan hanya terletak di kawasan luar bandar.

“Selain terlalu bergantung kepada sumber makanan dari pinggir bandar, kaedah ini sudah tentu membantu isu rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan.

“Tidak mustahil juga, melalui kaedah ini, isi rumah boleh menambah pendapatan sampingan komuniti melalui lebihan pengeluaran hasil pertanian ini,” katanya.

Selain itu, Faizah berkata pihaknya turut membawa masuk ‘aqua scape’ bagi menarik lagi ramai pengunjung melihat landskap hidupan dalam akuarium.

“Akuarium ini dihias dengan landskap yang menarik untuk pengungjung melihat dan dijadikan inspirasi di kediaman, pejabat dan sebagainya,” katanya.

Antara tarikan lain di Pavilion Selangor, tiga jenis kambing iaitu boer, saenan dan dorper di bawa masuk secara lebih dekat dan pengunjung boleh ber ‘selfie’ dengan ternakan itu.

“Rasai memegang jenis-jenis kambing ini. Ia sudah tentu akan mengujakan anda,” katanya.

Katanya, pengunjung turut berpeluang merasai bagaimana berada di dalam sarang kelulut yang dibina khas dalam taman kepada orang ramai.

Faizah berkata pihaknya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan industri madu kelulut yang begitu banyak khasiatnya dalam konteks kesihatan.

Malah, ia antara produk kesihatan tempatan yang setanding madu antarabangsa untuk diangkat sebagai ‘superfood’ pertama kita di peringkat antarabangsa

“Di dalam sarang ini, kita menyediakan tayangan video dokumentari berkenaan kemajuan industri ini sekaligus peralatan diperlukan dalam industri ini di pamerkan.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih 100 usahawan yang berjaya dalam industri madu kelulut ini dan kita cuba membawa atau membimbing lebih ramai usahawan yang berminat dalam bidang ini,” katanya.

Pada masa ama, pelbagai demonstrasi diadakan antaran masakan dan cendawan DIY. Turut disediakan lebih 100 tanaman herba dan ternakan perikanan untuk dilihat oleh pengunjung.

Seramai 14 usahawan produk Industri Asas Tani (IAT) turut dipamerkan di pavilion itu dan makanan ‘Nasi Ambeng’ turut diperkenalkan.

Faizah berkata lebih 2,000 orang sudah berkunjung dalam tempoh empat hari MAHA 2016 berlangsung.

“Tahun lalu, lebih 10,000 orang ke pavilion ini dan setakat ini sambutan pengunjung sangat memberangsangkan. Kita berharap lebih ramai akan hadir ke pavilion ini,” katanya.

Selain pameran dari pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Mardi dan Fama, Pavilion Selangor juga mempromosikan pembukaan Selangor Fruit Valley (SFV) yang akan dibuka pada 24 Disember ini.

“SFV ini akan dijadikan agro pelancongan yang mana orang ramai boleh berkunjung di sana. Pelbagai tanaman dan ternakan akan dapat dilihat di sana,” katanya.

MAHA 2016 berlangsung pada 1 hingga 11 Disember di Maeps, Serdang dengan bertemakan “Makanan Kita Masa Depan Kita – Our Food Our Future”.

=EZY=