Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA sedia bas percuma esok, bawa mangsa banjir terima bantuan negeri

SHAH ALAM, 21 FEB:  Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan bas secara percuma untuk membawa mangsa banjir ke program Bantuan Selangor Bangkit (BSB), esok.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan perkhidmatan melintasi dua laluan dari Dewan Kampung Sungai Kandis dan Padang Rakyat Kambung Jalan Kebun menuju Dewan Kemuning.

Berdasarkan info grafik dikongsi menerusi Facebook MBSA, pergerakan bas bermula jam 2 petang hingga 9 malam dengan kekerapan bas adalah setiap sejam.

Semalam, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata perkhidmatan itu tidak terhad untuk satu-satu masa sahaja sebaliknya akan diteruskan sehingga bantuan negeri kepada penduduk terjejas selesai.

Shahrin Ahmad berkata pergerakan bas untuk program BSB berikutanya akan dimaklumkan di media sosial MBSA antaranya Facebook dan Twitter dari semasa ke semasa.

Hujan lebat luar biasa antara pada Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bencana itu termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Kemudahan pintar negeri, pendigitalan demi rakyat

SHAH ALAM, 11 OKT: Selangor mendahului negeri lain dalam pendigitalan dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025.

Menyemarakkan lagi usaha berkenaan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menambah beberapa lagi program digital untuk kemudahan rakyat ketika berdepan pandemik Covid-19.

Berikut senarai inisiatif dan aplikasi digital yang dibangunkan sejak beberapa tahun lepas. Bermula 2016, pelan ini berpaksikan keselesaan rakyat.

Dalam pelaksanaan

Aplikasi pembayaran parkir kenderaan
■ Smart Parking digunakan 10 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor
■ hanya imbas untuk bayar, parkir dan kompaun dalam talian
■ peringatan tempoh tamat parkir
■ 1.29 juta transaksi bayaran sejak Januari 2021

Aplikasi pembayaran dalam talian (CEPat)
■ perkhidmatan berbayar pelbagai dalam talian kerajaan mulai Oktober 2019
■ boleh guna di luar negara termasuk perbankan internet FPX
■ muat turun menerusi Google PlayStore dan Apple AppStore
■ senarai perkhidmatan antaranya cukai taksiran, kompaun, lesen, cukai tanah, utiliti, bil telefon mudah alih, sewaan fasiliti dan sumbangan serta tambang Bas Smart Selangor
■ perkhidmatan e-dompet antaranya Boost, GrabPay, Maybank QR Pay, Touch n’Go eWallet, KiplePay, AliPay dan WeChatPay Program Tuisyen Rakyat dalam talian (PTRS)
■ kelas tambahan untuk pelajar prestasi sederhana atau lemah
■ sasar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000
■ tawar subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sejarah, pengajian am dan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (Muet)
■ daftar menerusi eptrs.my

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Portal Inisiatif Peduli Rakyat (IPR)
■ pusat pengurusan data dan semak program IPR
■ bantu golongan B40
■ 33 program IPR disediakan sejak 2008
■ mohon IPR dalam talian menerusi ssipr.selangor.gov.my

Platform Selangor (PLATS)
■ platform promosi ekonomi penjaja dan peruncit
■ portal platselangor.com dibangunkan pada 2020
■ PLATS e-Bazaar Ramadan digital pertama dilancarkan di Malaysia
■ beri bantuan pendigitalan, biaya dan latihan usahawan
■ gabungan Selangor e-Kitchen dan Selangor e-Bazar Raya dijenamakan kepada Selangor e-Kitchen 2.0
■ PLATS 2.0 diumum dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dan dilancar pada 11 April 2021 Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec)
■ lancar pada 3 Oktober 2019 untuk bantu peniaga
■ memasarkan hasil tani, produk usahawan dan barangan basah
■ diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Seldec hubungkan pembeli dan penjual melalui www.seldec.com.my

Skim Internet Selangor M40 (SISM40)
■ bantu golongan M40
■ subsidi yuran langganan pakej dari RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun
■ tawaran pakej keluarga, bujang dan asas menerusi sism40.com.my
■ dijayakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM)

WiFi Smart Selangor
■ dimulakan pada 2015 dengan lebih 3,600 pusat akses
■ RM17.5 juta diperuntuk dalam Belanjawan Negeri 2021
■ naik taraf perkhidmatan guna teknologi fiber sejak Julai 2020
■ lima kluster liputan:
– rumah kos rendah dan sederhana
– pendidikan, kesihatan dan keagamaan
– komuniti
– pengangkutan, sukan dan rekreasi
– agensi dan syarikat Kerajaan Negeri

Tanpa tunai
■ galakkan peniaga dan masyarakat guna transaksi tanpa tunai

Pengguna Bas Smart Selangor mengimbas kod QR aplikasi CEPat serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak sebelum menaiki pengangkutan awam itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam pada 1 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Aplikasi Bas Smart Selangor

■ sistem pengangkutan awam pintar (SITS) di 12 PBT merangkumi:
– senarai laluan dan pergerakan bas
– jangkaan waktu ketibaan
– lokasi hentian bas
– muat turun menerusi App Store dan Google Playstore

Scan to Ride
■ imbas kod QR semasa masuk dan turun daripada bas Smart Selangor mulai Mac 2021
■ tambang ditolak daripada token aplikasi CEPat
■ percuma untuk warganegara, warga emas dan kanak-kanak manakala caj RM0.90 bukan warganegara
■ kanak-kanak dikategorikan berusia bawah 18 tahun

Hentian Bas Pintar
■ mempunyai isyarat penumpang menunggu
■ WiFi percuma
■ sensor kualiti udara
■ hab pengecas USB
■ kamera litar tertutup
■ peta laluan bas
■ butang panik dan ambil penumpang
■ panel paparan maklumat
■ tempat letak basikal

Kakitangan kerajaan Nur Hidayah Mohd Hanib melakukan demonstrasi pada perasmian sistem ‘Smartbox PTGS’ di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI


Smartbox Pejabat Tanah dan Galian Selangor

■ program pendigitalan di pejabat tanah dan daerah
■ mudahkan permohonan, semakan atau bayaran urusan hak milik tanah dan strata
■ daftar sebagai pengguna untuk akses sistem
■ waktu operasi 5 pagi hingga 8 malam dan waktu kiosk perserahan mulai 6 pagi hingga 5 petang
■ urusan dalam talian menerusi smartbox.selangor.gov.my

Smart Selangor SME Platform
■ tingkat upaya pengusaha industri kecil sederhana (IKS)
■ bantu urus pernigaaan dengan mudah dan tingkat jualan. Antara programnya:
– latihan dan bimbingan jurulatih industri profesional
– pendedahan kepada platform digital bersesuaian
– tawar insentif pendigitalan
– kelulusan lesen perniagaan secara digital
– peluang sertai Program Modal Bantuan jika layak
– perniagaan automatik layak disenarai dalam portal perniagaan Kerajaan Negeri

Pusat kecemerlangan (Coe)
■ mudahkan kerjasama Kerajaan Negeri dan pemain industri swasta rancang penyelesaian pintar
■ dua COE beroperasi sejak 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dengan 25 program manakala 40 program di Menara Bank Simpanan Nasional, Shah Alam

Sistem pelaporan jalan berlubang (IRS)
■ sistem pelaporan pintar massa
■ lapor kes jalan berlubang, lampu isyarat

Sistem pengurusan lalu lintas pintar (ITMS)
■ pantau lalu lintas masa nyata di jalan utama

Pusat Kawalan Smart Selangor C5i (SSOC)
■ siap pada 1 Disember 2020
■ digunakan Unit Pengurusan Bencana negeri dan mampu beroperasi 24 jam
■ SSOC papar data visual ke skrin untuk analisis dan tindakan segera
■ pusat pemantauan bencana dan papar data analisis dari aplikasi Smart Selangor

Smart Selangor Cloud Accelerator for Enterprises (sCALe)
■ program permulaan penggunaan awan 10 bulan percuma untuk peniaga
■ bimbingan pakar industri dan diperkenalkan dengan teknologi canggih
■ diberi kredit AWS bantu peniaga tingkat potensi
■ AWS adalah platform komputer fleksibel, mudah digunakan dan menjimatkan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Negeri Pintar: Selangor sedia kongsi data dengan persekutuan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Selangor sedia berkongsi data bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan rancangan menjadi Negeri Pintar (Smart Selangor) menjelang 2025 tercapai.

Dato’ Menteri Besar berkata sekiranya bergerak sendiri, Kerajaan Selangor sukar merealisasikan matlamat itu memandangkan negeri ini merupakan nadi penggerak negara.

“Kerap kali saya ingatkan kita tak boleh kerja sendirian untuk laksanakan Smart Selangor. Jadi kita tak ada masalah dan terbuka untuk berkongsi data namun perlu ada syarat tertentu.

“Bila gabungkan data, seperti pandemik Covid-19. Kita mampu tebak pergerakan jangkitan dan sikap manusia, jadi boleh rencanakan program (mengatasi).,” kata Dato’ Seri Amirudn Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Antarabangsa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung kesediaan Kerajaan Selangor berkongsi data memandangkan negeri ini menggiatkan konsep pendigitalan.

Selangor menjadi negeri pertama memperkenalkan pendigitalan dalam pentadbiran negeri antaranya Citizen E-Payment Platform (CEpat) dan Platform Selangor (PLATS).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SSDU perkenal tiga inisiatif percepat pembangunan digital

SHAH ALAM, 16 APRIL: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memperkenal tiga inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor (SDI) bagi mempercepat transformasi digital dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengarah urusannya berkata komponen baharu meliputi Selangor Gigabit Network (SeGNet), Smart Selangor Hybrid Data Centre (SSDC) dan Local Cloud Computing yang dibangunkan selaras mencapai gagasan negeri pintar menjelang 2025.

“Infrastruktur ini sedia menawarkan teknologi terbaik yang dapat memberi kuasa kepada perkhidmatan digital, aplikasi dan sistem diperlukan untuk mengoperasikan negeri pintar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar selepas pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar Smart Selangor di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, Shah Alam pada 16 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Paling penting dalam menjayakan negeri pintar adalah mengembangkan ‘lapisan digital’ dan memastikan ia beroperasi dengan baik seperti bagaimana tubuh manusia berfungsi,” kata Dr Fahmi Ngah.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran inisiatif berkenaan yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan di sini hari ini.

Badan induk pelaksana program Smart Selangor itu bekerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd dan penyedia teknologi penstoran awan global Amazon Web Services (AWS) untuk inisiatif tersebut.

Menurut Dr Fahmi Selangor diiktiraf sebagai negeri pertama di negara ini menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi 3 Gigabit sesaat (Gbps) untuk sektor awam menerusi SeGNet.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) semasa pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Pintar Smart Selangor di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, Shah Alam pada 16 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jelasnya, jaringan SeGNet 3Gbps kini digunakan di Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor, Pusat Operasi Smart Selangor C5i, SSDC dan Centre of Excellence di Wisma Ehsan.

“Saya menggalakkan entiti lain dalam Kerajaan Selangor di semua peringkat untuk mengadaptasi penggunaan infrastruktur digital kerana ia menjamin hubungan lebih pantas.

“Malah, ia membolehkan perkongsian data yang selamat dan dipercayai dengan pelbagai pihak,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor sedia jadi komponen penting jayakan 80 peratus guna storan awan

SHAH ALAM, 16 APRIL: Selangor bersedia menjadi komponen penting bagi menjayakan sasaran 80 peratus penggunaan storan awan dalam sektor awam menjelang tahun depan, selari dengan pelan MyDigital Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa inovasi sistem berkenaan sudah dibangunkan dan dilaksana di negeri ini menerusi inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor (SDI) yang dikendalikan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

“Pelaksanaan SDI menandakan kesediaan Selangor untuk inovasi digital di sektor awam malah keperluan ini (inovasi digital) digemari oleh kerajaan pusat sebagai komponen utama memenuhi rancangan pelan tersebut.”

Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media sempena pelancaran inisiatif infrastruktur digital pintar Smart Selangor di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan, Shah Alam pada 16 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Saya yakin, kita (Kerajaan Selangor) semakin hampir mencapai aspirasi diinginkan dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan pintar untuk kerajaan dan aplikasi pintar yang bakal dinikmati rakyat pada masa hadapan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan inisiatif SDI di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan SSDU Dr Fahmi Ngah; Naib Presiden TM Selangor Dato’ Zuraidah Mohd Said dan Pengarah Urusan Sektor Awan Amazon Web Services ASEAN Tan Lee Chew.

Badan induk pelaksana program Smart Selangor itu bekerjasama dengan Telekom Malaysia Bhd dan penyedia teknologi penstoran awan global Amazon Web Services (AWS) untuk inisiatif tersebut.

Amirudin menambah penerapan SDI dalam operasi kerajaan bukan sahaja mempercepat sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat malah mewujudkan lebih banyak kerjasama pembangunan teknologi antara SSDU dan syarikat gergasi tempatan serta antarabangsa.

“Tahniah kepada SSDU atas kejayaan membangunkan beberapa infrastruktur digital dan terima kasih untuk rakan teknologi TM, AWS dan NetApp kerana menyokong pembangunan ini.

“Kerajaan Negeri menantikan lebih banyak inovasi digital bersama anda,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Sasar inisiatif Smart Selangor siap 55 peratus menjelang Disember

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yakin mampu membangunkan sekurang-kurangnya 55 peratus daripada 60 inisiatif Smart Selangor pada akhir tahun ini.

Pengarah perancangan strategiknya berkata program negeri pintar dan berdaya huni di peringkat Asean menjelang 2025 mencapai kemajuan 40 peratus sejak dilaksana tiga tahun lalu.

“Kita jangka boleh capai tahap itu kerana usaha membangunkan semua inisiatif yang dibukukan berjalan mengikut jadual,” kata Mazlan Mahadi pada Majlis Penganugerahan International Business Review Asean 2020 di sini malam tadi.

Mazlan Mahadi

Dalam majlis itu, SSDU merangkul anugerah penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam pembangunan negeri pintar oleh The IBR Asia Group.

Mazlan berkata pengiktirafan julung kali terbabit dicapai dengan sokongan dan kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap organisasi berkenaan.

“Saya percaya pencapaian ini mampu memberi rangsangan kepada seluruh ahli SSDU untuk bekerja lebih keras dan bersama meningkatkan pembangunan teknologi serta digital di Selangor,” katanya.

Beroperasi pada Mei 2016, SSDU diberi mandat menerajui pembangunan program Smart Selangor di bawah 12 domain antaranya tadbir urus pintar, pengurusan sisa pintar dan pengurusan lalu lintas pintar.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bas Smart Selangor MPKj guna sistem ‘Scan to Ride’ bermula Januari 2021

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mula menggunakan sistem ‘Scan to Ride’ bagi kesemua perkhidmatan Bas Smart Selangor bermula 1 Januari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan sistem berkenaan boleh didapati menerusi aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) yang boleh dimuat turun melalui Playstore dan AppStore.

“Scan to Ride dilaksanakan di kesemua bas Smart Selangor, untuk menggunakannya, pengguna perlu mengimbas kod QR Smart Selangor pada pintu bas.

“Pengguna bukan warganegara akan dikenakan caj sebanyak 90 sen pada tarikh yang akan diumumkan kelak. Sementara buat rakyat tempatan, perkhidmatan ini masih kekal percuma,” kata MPKj menerusi Facebook.

Tambahnya lagi, pengguna tidak dibenarkan menaiki bas berkenaan sekiranya tidak mengimbas kod QR bermula Januari depan.

Aplikasi ‘Scan to Ride’ membolehkan pengguna membayar tambang melalui kad atau mengimbas kod QR.

Usaha itu selaras hasrat mewujudkan masyarakat Selangor tanpa tunai serta ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi Moovit bantu penumpang Rapid Bus rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, Go KL dan SMART Selangor, hari ini mengumumkan ketersediaan maklumat sebenar lokasi bas menerusi aplikasi Moovit.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata dengan aplikasi itu, penumpang dapat menyemak lokasi semasa sebenar bagi laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Go KL dan beberapa laluan perkhidmatan bas Smart Selangor terpilih.

“Selain itu, ia menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan adanya kemudahan maklumat perjalanan ini melalui aplikasi telefon pintar, penumpang juga boleh menanti bas mereka sambil bersantai atau melakukan aktiviti lain sementara menunggu ketibaan bas.

“Kerjasama dengan Moovit merupakan sebahagian inisiatif Rapid Bus untuk menjalinkan kolaborasi bersama pembangun aplikasi pihak ketiga yang terpilih. Kemudahan itu akan memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan bas awam di Lembah Klang,” katanya.

Muhammad Yazurin berkata sebelum ini, pihaknya telah melancarkan perkongsian data masa nyata atau ‘real-time’ bersama Google Maps pada 18 Jun lepas.

“Kedua-dua inisiatif ini menandakan satu titik baharu dalam perkongsian data kedudukan bas secara real-time bagi kemudahan para pelanggan kami.

“Inisiatif-Inisiatif kolaboratif ini adalah pelopor kepada inisiatif perkongsian data terbuka yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merancang meluaskan rangkuman data lokasi kepada perkhidmatan bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang pada masa hadapan.

Pengguna perkhidmatan bas Rapid KL boleh memuat turun aplikasi Moovit daripada Google Play atau Apple App Store.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Smart Selangor Command Centre mula pantau kawasan panas Covid-19

SHAH ALAM, 17 MAC: Smart Selangor Command Centre mula menjejaki kawasan panas yang mempunyai kes positif Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Pelaksanaan itu selaras dengan keputusan mesyuarat Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor, semalam.

“Pemetaan melalui papan pemuka Smart Selangor Command Centre itu sedang meneliti kawasan yang terbabit dengan wabak berkenaan di seluruh negeri ini,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Semalam, Amirudin mengumumkan Selangor mengenal pasti kawasan panas Covid-19 menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global dan Sistem Maklumat Geografi.

Langkah itu sama seperti operasi di Korea Selatan yang menggunakan pendekatan ‘seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat’ (whole of government, whole of society).

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor harap rakyat manfaat aplikasi pintar

SHAH ALAM, 16 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berharap lebih ramai rakyat di negeri ini memanfaatkan aplikasi pintar yang disediakan Kerajaan Negeri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah keadaaan itu sekali gus membantu Kerajaan Selangor menyelesaikan masalah orang awam dengan lebih cepat.

“Sehingga kini, inisiatif Smart Selangor yang dilaksana terus mendapat sokongan rakyat kerana ia memberi impak terutama dalam sektor penyampaian awam antaranya Smart Selangor Parking, Waze aduan jalan rosak, Sistem Pengangkutan Pintar Selangor dan e-dompet,” titah baginda pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Ke-14, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah beberapa program Inisiatif Peduli Rakyat juga dapat menyelesaikan masalah seperti digariskan Matlamat Pembangunan Lestari yang disyorkan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta bagi pelaksanaan inisiatif Smart Selangor tahun ini,

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

881,000 guna aplikasi parkir pintar, nombor satu negara

SHAH ALAM, 1 FEB: Pengguna Smart Selangor Parking (SSP) kini mencecah 881,000 sekali gus menjadi aplikasi parkir nombor satu negara, kata Ng Sze Han.

EXCO pengangkutan awam berkata ia melebihi sasaran awal 500,000 pengguna ketika aplikasi pintar itu dilancarkan pada 1 Julai tahun lalu.

“Bagi menggalakkan penggunaan SSP, setiap tambah nilai RM100 akan diberi kredit percuma RM3 manakala kredit percuma RM1 bagi tambah nilai RM50.

“SSP memudahkan penggunaan aplikasi melalui telefon berbanding kaedah menggunakan wang syiling bagi membayar parkir,” katanya.

Sze Han berkata, SSP adalah antara usaha Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Sasar capai 46 peratus Smart Selangor akhir tahun ini

SERI KEMBANGAN, 28 JAN: Selangor menyasarkan pencapaian 46 peratus bagi inisiatif pelaksanaan Negeri Pintar (Smart Selangor) menjelang hujung tahun ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata 12 domain yang dikendalikan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) sejak 2016 itu dilaksanakan berperingkat.

“Sehingga November tahun lalu, pencapaian Selangor ke arah Negeri Pintar mencapai 26 peratus dan kita menjangkakan mencapai 46 peratus hujung tahun ini.

“Usaha pelaksaaan 12 domain termasuk e-tunai, pengurusan alam sekitar, ekonomi dan pentadbiran negeri itu dilaksanakan berperingkat sejak 2016,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Perkampungan Menara Gading Selangor di Universiti Putra Malaysia.

Belanjawan Selangor 2020 memperuntukkan RM50 juta dengan tumpuan pembangunan ‘Selangor Gigabit Network’ (SeGNet) dan ‘Hybrid Data Centre’ yang bakal memperkenalkan penggunaan jaringan intranet kerajaan berkelajuan tinggi dan menerajui penggunaan teknologi pengkomputeran awan untuk tujuan pemulihan data ketika bencana.