Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lambakan lebuh raya tidak selesai isu kesesakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 DIS: Penyediaan mod pengangkutan awam yang efisien akan mengurangkan pembinaan lebuh raya yang dilihat hanya untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kewujudan lebuh raya tidak menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, sebaliknya menyusahkan rakyat dengan penambahan kenderaan di atas jalan raya.

“Pembinaan lebuh raya hanya mengalihkan mesin bukan manusia. Jika mahu mengalihkan manusia ke satu tempat, sistem pengangkutan awam yang efisien perlu diutamakan.

“Kita tidak mahu ia diteruskan kerana sudah tentu ada pihak berkepentingan memberi alasan untuk membina lebih banyak lebuh raya jika ia tidak diselesaikan,” katanya ketika Majlis perasmian dan Pelancaran Program Pengangkutan Awam Sekali Seminggu (PPASS) di Bangunan SUK, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memberikan tambang percuma sebulan bagi perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) di laluan Sungai Buloh-Kajang.

pc-26-of-28Katanya, perkara itu jelas berbeza berbanding insisiatif Bas Smart Selangor yang ditawarkan secara percuma kepada semua penumpang.

“Ketika ini banyak negeri mengikut jejak langkah Selangor dalam wujudkan perkhidmatan bas percuma yang diberikan percuma selama-lamanya bukan sebulan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Selangor juga menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam untuk memperkenalkan alternatif jajaran dan jalinan pengangkutan awam yang boleh dikongsikan bersama Kerajaan Persekutuan jika berminat.

-AA-