Categories
SELANGOR

Lawat pesakit: Mahasiswa UNISEL praktik ilmu komunikasi

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 DIS : Sekurang-kurangnya 40 mahasiswa Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Universiti Selangor (UNISEL) mengadakan lawatan ke Hospital Pakar SALAM, Seksyen 19, pada 24 November lalu.

Penglibatan mahasiswa jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat itu bertujuan memberi sokongan moral kepada pesakit selain memberi pendedahan kepada mereka untuk berkomunikasi secara lebih berkesan dengan masyarakat.

Turut hadir memberi sokongan Naib Canselor UNISEL, Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Prof Dr Azmuddin Ibrahim, serta Pengarah Eksekutif Hospital Pakar SALAM, Maslina Ibrahim.

unisel02Mahasiswa yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat di UNISEL secara amnya akan mempelajari kepimpinan, komunikasi strategik dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Ia juga melibatkan sejumlah besar pengucapan awam dan pembentangan untuk meningkatkan keyakinan pelajar dan memberi mereka peluang mempraktikkan pembelajaran di dunia sebenar.

Justeru, lawatan ke Hospital Pakar SALAM adalah antara kurikulum yang dirangka khusus buat mahasiswa menyampaikan maklumat secara berkesan dalam suasana profesional.

-nR-