Categories
SELANGOR

MBPJ anjur anugerah iktiraf bangunan rekabentuk sejagat

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 21 DIS: Program ‘Universal Design Award’ dilaksanakan bagi mengiktiraf bangunan yang menyediakan rekabentuk sejagat di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, penganjuran anugerah itu merupakan langkah MBPJ dalam memberi kesedaran dan galakan kepada pemaju, jururancang bandar, arkitek dan pemilik bangunan dalam menyediakan persekitaran bandar raya yang inklusif dan selamat.

Katanya, MBPJ menetapkan prosedur di peringkat pra rundingan kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan.

“Pemaju dan arkitek dikehendaki membuat semakan terperinci bersama pegawai ‘Universal Design’ (UD) sebelum diberi pengesahan melalui ‘UD Form’ yang mengatakan segala keperluan dipatuhi.

“Seterusnya mengemukakan permohonan secara online ke Unit OSC MBPJ,” katanya di mesyuarat penuh bulanan, di sini.

Mohd Azizi berkata, MBPJ turut menubuhkan pasukan khas untuk membuat pengauditan dan penilaian terhadap pematuhan rekabentuk sejagat di peringkat pembinaan projek (75 peratus) dan sebelum pemaju diberikan ‘Certificate of compliance & competency (CCC)’.

Sejak 2000, MBPJ komited mewujudkan persekitaran mampan dan berdaya huni.

Selaras itu, Pelan Reka Bentuk sejagat dilancarkan yang mengandungi empat kompenan utama iaitu projek pengubahsuaian bangunan, kesedaran awam, latihan dan teknikal serta jawatankuasa dan pengauditan.

=EZY=