Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor peneraju negeri bebas polisterin 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 DIS: Selangor menjadi antara negeri terawal memberi penumpuan terhadap dasar pengharaman penggunaan polisterin dan beg plastik menjelang 2017.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, inisiatif tersebut dibuat menerusi perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diputuskan, Julai lalu.

“Keputusan telah dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 13 Julai lalu, dan perkara ini juga dimaklumkan kepada 12 PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) seluruh negeri.

“Semua PBT meluluskan pra-syarat ini dan Kerajaan Negeri meneruskan komitmen dan dasar ini untuk melaksanakannya di peringkat PBT bagi mewujudkan kempen lanjutan program ini kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Kempen #BebasPlastik 2017 yang menetapkan pengharaman penggunaan polisterin dan beg plastik percuma di negeri ini.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan laman sawang pendidikan kepada masyarakat untuk mendapatkan pelbagai info berhubung pelaksanaan dasar tersebut.

“Ia boleh dilawati di laman sesawang bebasplatik.my dengan segala maklumat mengenainya boleh dilihat menerusi laman berkenaan,” katanya.

Beliau percaya, kempen itu mampu membangkitkan reaksi positif kepada usaha Kerajaan Negeri untuk membawa perubahan lebih berkesan kepada gaya hidup masyarakat.

“Kami percaya ia boleh dilaksanakan memandangkan hasil kaji selidik yang dibuat sebelum ini mendapat desakan supaya hari pengecualian beg plastik setiap Sabtu sebelum ini dilanjutkan.

“Menyedari hakikat ini, kita perlu membuat perubahan dan kami tetap komited kepada perubahan ini dengan melaksanakan polisi memerangi masalah pembuangan sampah berleluasa dan menekankan isu alam sekitar seperti pemanasan global,” katanya.

=EZY=