Categories
SELANGOR

MPSepang cari resolusi selesai kesesakan di kawasan KLIA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meminta pihak terbabit mencari solusi terbaik bagi mengurangkan kesesakan di kawasan itu apabila tiba musim haji.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, hal itu kerana Kompleks Tabung Haji baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijangka memulakan operasi tahun depan akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berhampiran.

“Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya akan dipindahkan ke sini dan sudah tentu pada musim haji tahun depan akan lebih menyebabkan kesesakan.

“Kita akan memanggil JKR untuk membincangkan hal ini bagi menyediakan jalan alternatif lain untuk memudahkan pengguna lain. Tindakan drastik boleh dilakukan dengan meluruskan terus ke KLIA,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Puasa berkata, MPSepang mengambil serius isu terbabit dan akan membuat kajian menyeluruh kepada implikasi jalan juga pengguna.

puasaTabung Haji kini sedang membina kompleks jemaah haji dan bangunan hotel dengan kos RM303 juta bagi menyediakan perkhidmatan pengurusan haji lebih baik berhampiran KLIA.

Ia bagi memudahkan proses melapor diri, mendaftar masuk, pemeriksaan bagasi dan urusan imigresen jemaah.

Kompleks menampilkan ciri-ciri seni bina Islam moden dilengkapi 300 bilik bertaraf empat bintang itu terletak bersebelahan Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, atau kira-kira lima kilometer dari KLIA.

-AA-