Categories
SELANGOR

Penduduk perlu waspada tanah mendap

SHAH ALAM, 28 DIS: Penduduk di Jalan Raja Abdullah, Seksyen 9, di sini, dinasihatkan supaya berwaspada ekoran kawasan di taman perumahan itu didapati mengalami mendapan tanah yang teruk, semalam.

Pegawai Operasi Kanan Unit Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Selangor, Mohd Saiful Munir Mohd Isa berkata, penduduk di kawasan itu perlu mengambil langkah berjaga-jaga kerana dikhuatiri berlaku runtuhan kedua.

“Berdasarkan hasil pemantauan, mendapan tanah itu mengakibatkan tanah di bahagian tebing perumahan berkenaan mengalami keretakan dan runtuh.

“Namun, pada waktu ini, jalan berdekatan masih selamat untuk digunakan dan pihak berwajib sudah menerima laporan berkenaan kejadian itu,” katanya ketika melawat kawasan terbabit.

Beliau berkata, sebahagian jalan berkenaan sudah ditutup menggunakan kon sebagai tanda amaran kepada orang ramai.

“Saya berharap penduduk sekitar tidak mengalihkan kon itu untuk keselamatan pengguna jalan raya lain dan menghubungi pihak berkuasa jika berlaku runtuhan,” katanya.

Mendapan itu mengakibatkan tebing bukit berdekatan kediaman berkenaan runtuh sehingga mengganggu sebahagian daripada laluan kenderaan.

Difahamkan, runtuhan pada awal bulan itu berpunca daripada takungan air dalam tanah, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa setakat ini.

-AA-