Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Perkembangan FAS, netizen sokong kenyataan RMS

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 DIS: Kenyataan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan perkembangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Red Giants mendapat perhatian juga sokongan netizen khususnya penyokong negeri itu.

Sememangnya kemelut melanda FAS sejak kebelakangan ini menjadi bualan ramai dan meresahkan majoriti peminat bola sepak Selangor yang mengharapkan ia tidak berpanjangan serta menjejaskan persiapan pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.

Netizen menyambut baik keprihatinan Tengku Amir Shah menerusi kenyataan baginda dalam Facebooknya, Raja Muda Selangor – RMS dengan komen membina serta berharap FAS mengalami proses perubahan positif demi kebaikan bola sepak Selangor.

“Sudah (tiba) masa pengurusan lama diganti baru terutama barisan exco yang ada sekarang ahli politik, mereka tidak undur, Tengku kena ambil alih FAS seperti yang dilakukan Johor TMJ (Tengku Mahkota Johor). Kami sayang Selangor. DAULAT TUANKU,” luah Syed Albab Alyahya.

Raufismail Rauf juga berkongsi pandangan dengan saranan FAS melalui rombakan semula supaya ditadbir urus kepimpinan baru, “Perlu nafas baru dan segar untukmu Selangor”.

Red Giants“Alhamdulillah dan terima kasih atas keperihatinan Tuanku berkenaan masa depan bola sepak Selangor. Sudah lama kami sebagai penyokong Selangor tunggu detik ini,” nukil Faizal Mahfaz pula.

Ia sebahagian luahan dan komen netizen juga penyokong Red Giants yang rata-rata tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan FAS sedia ada yang didakwa gagal mengembalikan kegemilangan Selangor serta berdepan cabaran pasukan lain dalam Liga Super.

Dalam kenyataannya, Tengku Amir Shah melahirkan kebimbangan dengan perkembangan dan laporan terkini berkenaan FAS serta secara peribadi berkongsi keresahan penyokong dalam media sosial.

Raja Muda Selangor sendiri menunjukkan minat terhadap sukan termasuk bola sepak melalui penganjuran Selangor Champions League (SCL) 2016 dilaksanakan di bawah Selangor Youth Community (SAY) diterajui baginda.

-AA-