Categories
AGENDA SUKANKINI

Tim Heubach perkukuh bentang pertahanan Selangor FC

SHAH ALAM, 12 DIS: Selangor FC mengikat pemain dari Jerman Tim Heubach untuk memperkuat benteng pertahanan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula Februari tahun depan.

Selangor FC mengesahkan mengikat pemain berasal dari Neuss, Jerman yang mempunyai ketinggian 192 sentimeter (cm) serta pernah beraksi bersama pasukan Ligat Ha’AI Maccabi Netanya itu dalam satu kenyataan di laman web www.selangorfc.com hari ini.

Pemain berkenaan membuat 82 penampilan dan menjaringkan lima gol untuk kelab tersebut, menurut kenyataan itu.

Foto: FA Selangor

Menurut kenyataan itu, Selangor FC adalah kelab Asia pertama disertai Heubach setelah berkelana lama di Timur Tengah selain pernah bermain untuk Borrussia M’glabach II, 1 FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt.

“Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baharu di sini sebelum pulang ke Jerman satu hari nanti.

“Semasa saya diberitahu oleh jurulatih Michael (Feichtenbeiner) mengenai Selangor FC, saya teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan The Red Giants di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain bersama pasukan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Heubach berkata beliau juga dimaklumkan mengenai penyertaan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih Selangor FC dan pernah bertemu dengan jurulatih berkenaan di Jerman pada Oktober lepas.

“Ia adalah pertemuan pertama kami. Saya tidak pernah bekerjasama dengan Neitzel sebelum ini tapi kami pernah menjadi lawan pada satu ketika dulu.

“Semasa bertemu kami berbincang mengenai cabaran baharu untuk kami berdua di Malaysia. Beliau juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan harapan beliau terhadap saya,” katanya.

Heubach adalah pemain terbaharu kedua diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan penyerang kebangsaan Shahrel Fikri sebagai penyerang baharu The Red Giants minggu lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sathianathan beri yang terbaik, tidak fikir status musim depan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Status masa depan pengendali skuad Selangor, B. Sathianathan pada musim depan bergantung kepada prestasi pemain dalam mempamerkan hasil terbaik dalam saingan Liga Super buat masa ini.

Pengendali skuad The Red Giants itu berkata beliau kini masih menjalankan tugasnya sebagai jurulatih dan terserah kepada pihak pengurusan untuk menentukan nasibnya selepas perlawanan musim ini menutup tirainya.

“Bagi saya, saya adalah jurulatih pasukan, saya tidak peduli dengan masa depan saya. Selagi apa yang semua pemain tahu, saya akan memberikan seratus peratus kepada pasukan. Itu yang saya ambil tahu.

“Mereka (pihak pengurusan) boleh memutuskan apa sahaja yang mereka mahukan. Saya tidak mengambil cuti walaupun sehari…saya bekerja. Saya melakukan semuanya dan pemain juga melakukannya. Saya telah memberikan seratus peratus, jadi saya tidak peduli, mereka (pihak pengurusan) boleh buat apa yang mereka mahu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai masa depan beliau bersama Selangor bagi musim hadapan dalam sidang media perlawanan Liga Super antara Selangor menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC) yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Universiti Teknologi Mara, semalam.

Selangor gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri walaupun pelbagai percubaan menarik dilakukan bagi membolosi gawang yang dikawal ketat penjaga gol Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Jelasnya, bagi perlawanan itu pasukannya mempunyai peluang untuk menghasilkan gol namun peluang tersebut tidak dimanfaatkan bahagian jentera serangan skuad kendaliannya.

Dalam pada itu, Sathianathan turut menegur tindakan pengadil dalam melakukan pengadilan, yang baginya dianggap tidak adil terutama ketika waktu tambahan.

“Anda hanya memberi masa tambahan empat minit dan pada masa yang sama, ada pemain yang jatuh dalam permainan. Saya tidak faham dengan situasi itu. Itu tidak termasuk pertukaran pemain dan lain-lain.

“Ada dalam situasi ini memberi kelebihan (untuk pasukan tertentu). Sekiranya pengadil adalah sangat tegas, tidak ada pemain yang akan ambil kesempatan. Ia membunuh permainan. Oleh itu, saya berharap pengadil mempunyai keberanian dalam mengatur masa perlawanan dengan betul. Saya hanya membantu untuk meningkatkan bola sepak dan saya tidak bercakap buruk tentang mereka,” katanya.

Selangor akan menentang Sabah dalam perlawanan seterusnya pada Jumaat ini dalam misi memburu kemenangan pertama mereka selepas Liga Super ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Red Giants kekal beraksi di Stadium UiTM hingga hujung musim

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor kekal beraksi di Stadium UiTM di sini sehingga penghujung musim berikutan kerja baik pulih bumbung dan pendawaian elektrik di Stadium Shah Alam belum selesai.

Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor berkata cadangan lain termasuk Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya jika pembaikan tidak siap hujung tahun ini.

“Kerja pembaikan di Stadium Shah Alam mungkin lebih besar berbanding bumbung sahaja dan Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa cadangan (lain).

“(Buat masa ini) Selangor kekal beraksi di Stadium UiTM Shah Alam sehingga hujung musim,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ringkas ketika dihubungi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata kerosakan di Stadium Shah Alam sedang diteliti sebelum mengeluarkan perbelanjaan sepatutnya untuk proses naik taraf.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos untuk menggantikan bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bumbung mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Stadium berkapasiti 80,000 penonton itu dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya hingga 1997.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiga pemain baharu Gergasi Merah mahu pamer aksi terbaik

SHAH ALAM, 12 JAN: Tiga pemain baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bersemangat melakukan yang terbaik buat The Red Giants dalam Kejohanan Asia Challenge 2020.

Brendan Gan, pemain kacukan Malaysia-Australia berkata beliau tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan yang menjadi medan pasukan mempamer kehebatan masing-masing.

“Ini adalah ujian terbaik bagi pembukaan 2020, malah saya sendiri akan melakukan yang terbaik supaya penyokong teruja menyaksikan pasukan Selangor.

“Sama ada bermain dengan pasukan terkenal atau tidak, fokus utama adalah memenangi perlawanan,” katanya ketika ditemui pada program ‘Meet & Greet’ di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Rodney Celvin Akwensivi mengakui barisan pemain Selangor memiliki prestasi hebat dan menjadi motivasi kepadanya untuk melakukan perkara sama.

“Saya menyasarkan sekurang-kurangnya satu atau dua piala untuk Selangor selain berusaha menambahbaik prestasi dari semasa ke semasa,” kata pemain posisi pertahanan itu.

Muhammad Syahmi Safari pula berkata peluang beraksi dengan pasukan hebat Asia memberi pengalaman baharu kepadanya untuk memantapkan diri.

“Kejohanan ini persediaan baik untuk pembukaan musim dan pasukan yang menyertai juga bukan calang-calang, justeru kami berharap persaingan kali ini memberi pengalaman berharga kepada Selangor,” kata pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2018.

Categories
AGENDA SUKANKINI

‘Meet & Greet’ tampil tiga pemain baharu Gergasi Merah

SHAH ALAM, 11 JAN: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal menampilkan tiga pemain baharu khas buat penyokong setia The Red Giants dalam program ‘Meet & Greet’ di Dataran Kemerdekaan Shah Alam esok.

Peminat bakal bertemu pemain kacukan Malaysia-Australia Brendan Gan, pemenang Anugerah Gol Terbaik Piala AFF Suzuki 2018 Muhammad Syahmi Safari serta pertahanan Rodney Celvin Akwensivi bermula 9 hingga 11 pagi.

Penyokong pasukan juara Piala Malaysia 33 kali itu juga boleh mendapatkan koleksi jersi Selangor yang dijual pada harga berpatutan.

FAS turut membuka peluang kepada penyokong untuk membeli tiket Kejohanan Asia Challenge 2020 yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Januari ini.

Sesi bersama peminat diadakan sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam yang meraikan ulang tahun ketiganya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor gagal raih tiga mata penuh di Shah Alam

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi ketiga Kumpulan D di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah kini mengumpul lima mata di kedudukan kedua dan dipisahkan hanya satu mata dengan pendahulu, Melaka yang membenam Felda United 3-1 dalam aksi kumpulan, kelmarin.

Saingan Kumpulan D untuk memburu dua slot ke peringkat suku akhir masih terbuka dengan satu mata berjaya dicuri PDRM malam ini membolehkan skuad bimbingan E. Elavarasan mengumpul empat mata untuk terus memberi tekanan kepada Melaka dan Selangor.

Pada aksi disaksikan 2,110 penonton itu, pemain PDRM Argzim Redzovic menafikan kemenangan tuan rumah selepas pertahanan itu menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-59, tujuh minit setelah Selangor meledak gol pembukaan menerusi Sandro da Silva.

Tersentak dengan itu, Sathianathan membawa masuk dua penyerang – Amri Yahya dan Sean Eugene Selvaraj dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kekemasan benteng pertahanan PDRM berjaya mengekang hasrat Selangor meraih kemenangan di laman sendiri.

Sementara itu, episod berbeza dialami PJ City FC selepas skuad dibimbing K. Devan itu berjaya mempertahankan satu gol untuk mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan UiTM FC 1-0 dalam saingan Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Penyerang import dari Timor Leste, Pedro Henrique Cortes Oliveira Gios muncul wira pasukan menerusi gol tunggal perlawanan pada minit ke-29.

PJ City FC kini mengumpul enam mata di kedudukan kedua, sekali gus mengekori rapat juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu Kumpulan B dengan tujuh mata.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Liga Super: Terlalu selesa buat gawang Selangor bolos

MARAN, 8 JULAI: Berasa selesa selepas mendahului menyebabkan Selangor dikejutkan dengan jaringan lawan, Felda United, pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Ketua Jurulatih Selangor, B. Satianathan berkata Felda United juga bijak menggunakan peluang daripada kealpaan itu sehingga menyebabkan pertahanan The Red Giants goyah dengan serangan balas mereka.

“Pemain sepatutnya tampilkan persembahan yang mudah kerana kita telah mendahului 2-0, sebaliknya mereka mahu bermain secara cantik di kawasan padat.

“Corak permainan begitu membawa kepada serangan balas lawan dan akhirnya Felda United mendapat banyak sepakan percuma dan sepakan sudut.

“Kita pula kerap kehilangan bola di bahagian pertahanan lawan sehingga mereka bangkit melakukan serangan balas dan berjaya mendapat gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan Felda United 2-1.

Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-44 sebelum penyerang import Ifedayo Olusegun melebarkan jurang gol kurang 10 minit kemudian.

Pada minit ke-63, The Fighters bangkit mencipta gol pertama menerusi tendangan cantik Jocinei Schad yang berjaya mengelirukan penjaga gol Mohd Khairulazhan Khalid.

Satianathan berkata keupayaan pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil membaca dengan baik percaturan Selangor juga menggoyahkan benteng pertahanan mereka walaupun mengawal 30 minit permainan.

Sementara itu, Mohd Nidzam mengakui pasukannya wajib mengurangkan kesilapan ‘kebudak-budakan’ yang memberi kelebihan kepada The Red Giant mencipta jaringan.

“Mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ialah perkara asas yang perlu dilakukan pemain sebaliknya mereka dilihat lebih gemar bermain secara dekat-dekat.

“Kita perlu ubah corak permainan ini kerana tidak akan selalu bernasib baik seperti bertemu Kedah sebelum ini yang menyaksikan pasukan kami bangkit selepas ketinggalan separuh masa pertama,” katanya.

Mohd Nidzam berkata kekalahan semalam menyebabkan The Fighters tidak boleh lagi kehilangan mata bagi empat perlawanan seterusnya sekiranya mahu ingin kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

FAS lancar #SSACarpool, galak penyokong kongsi kenderaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 APR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil inisiatif melancarkan kempen #SSACarpool sebagai mekanisme menggalakkan lebih ramai penyokong The Red Giants berkongsi kenderaan ke Stadium Shah Alam.

Menerusi entri terbaharu di Facebook, FAS memaklumkan, pihaknya mendengar keluhan ramai penyokong gergasi merah itu yang mengalami kesukaran mendapatkan kenderaan ke stadium berkenaan.

“Cara menjayakan kempen ini adalah menggunakan tanda pagar #SSACarpool apabila anda mencari rakan-rakan baru dari kawasan yang sama yang ingin ke Stadium Shah Alam sewaktu hari perlawanan.

“Penumpang yang ingin mencari kenderaan untuk berkongsi juga boleh melakukan pencarian di media sosial dengan menggunakan tanda pagar ini, contohnya #SSACarpool Sabak Bernam. Gerak pukul 5 petang. Pickup point/Drop off: SK Sabak Bernam. 2 kekosongan penumpang,” tulis kenyataan itu.

FAS berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat membawa lebih ramai penyokong ke stadium, malahan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan parkir, lebih menjimatkan mesra alam sekitar, selain berjumpa dengan rakan baru.

Status dimuat naik itu menerima sebanyak 236 pelbagai tanda, 34 komen dan 17 perkongsian.

Seorang pengendali Facebook menggunakan nama Anis Skrtel menyifatkan pendekatan FAS sebagai satu perubahan amat baik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Good move…Lagi satu please makesure every game ada polis trafik jaga jalan please especially kat trafic light lama tuuu,” tulisnya.

Sementara itu, Ghazali Ahmad teruja dengan inisiatif berkenaan, selain berharap kempen seumpama itu turut dijalankan di Kuala Lumpur.

“Ini macam barulah best!! Jangan lupa buat sekitar yang tinggal di KL juga!! #MKLK#AkuRedGiants,” tulisnya.

Categories
SUKANKINI

MSL: JDT menang 2-4, Selangor kemarau kemenangan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor terus kempunan untuk melakar kemenangan pertama Unifi Liga Super 2019 apabila tewas 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam yang dihadiri 21,616 penonton.

Tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang JDT menerusi sepakan percuma pemain import baharu, Sandro Da Silva pada minit kelima tetapi sekadar singgah ke palang gol.

Seminit kemudian JDT mendahului perlawanan 0-1 menerusi Velazquez Leandro hasil umpaman Diogo Luis Santo.

Belum sempat Selangor mengatur rentak, JDT menjadikan kedudukan 0-2 menerusi Diogo yang berjaya menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol hasil rembatan awal Velazquez.

Nurridzuan hampir merapatkan kedudukan buat Selangor pada minit ke-27 tetapi tandukkannya hasil lambungan Faiz Nasir sekadar terkena palang.

Usaha keras Selangor akhirnya menjelmakan jaringan pertama bagi kedudukan 1-2 hasil rembatan luar kotak penalti Endrick Dos Santos pada minit ke-32.

10 minit kemudian, Gonzalo Cabrera menjadikan kedudukan 1-3 buat JDT apabila tenang membolosi gawang Selangor selepas melepasi perangkap offside.

Rufino Segovia kembali menceriakan penyokong The Red Giants dengan tandukan padu yang menerjah gawang dikawal Farizal Marlias bagi kedudukan separuh masa pertama 2-3.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan beraksi lebih berhati-hati bagi mengelakkan kesilapan terutama di bahagian pertahanan.

Selepas sejam perlawanan, Velazquez terus cemerlang dengan gol kedua peribadi pada minit ke-68 bagi memastikan JDT selesa mendahului 2-4 selepas menampan bola yang gagal ditepis kemas penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid hasil rembatan awal Gonzalo Cabrera.

Rufino sekali lagi hampir menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-82 tetapi tandukannya tidak menepati sasaran.

Categories
SUKANKINI

Red Giants, PJC kongsi mata

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor mengutip satu mata apabila seri dengan Petaling Jaya City FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, malam tadi.

Gol tunggal The Red Giants dihasilkan menerusi sepakan penalti penyerang import, Rufino Segovia pada minit ke-89 selepas Syahmi Safari djatuhkan dalam kawasan penalti pasukan tuan rumah.

Sebelum itu, Petaling Jaya City FC mendahului Selangor 1-0 juga melalui gol penalti Pedro Enrique (m80) selepas penjaga gol, Khairulazhan Khalid melakukan kesilapan menjatuhkan penyerang lawan.

Sebelum itu, Rufino terlepas meletakkan Selangor di depan apabila gagal menolak masuk hantaran Syahmi di depan pintu gol.

Pada separuh masa kedua, Petaling Jaya City FC berusaha menggandakan asakan dan gol dicari diperoleh sepuluh minit terakhir perlawanan.

Ketika tuan rumah merasakan kemenangan hampir dalam genggaman, Selangor bangkit dengan gol penyamaan berikutan kesilapan pertahanannya di kawasan penalti.

Sebelum ini, skuad bimbingan B Satianathan seri dengan Felda United 1-1 manakala Petaling Jaya City FC tewas kepada Melaka United (1-2).

FOTO: FA SELANGOR

 

Categories
SUKANKINI

Demi ‘Gergasi Merah, penyokong ‘tak layan’ jersi tiruan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Penyokong setia Gergasi Merah sedia mengeluarkan belanja lebih dengan membeli jersi tulen bagi membantu mengukuhkan kewangan pasukan kesayangan mereka.

Penyokong Selangor yang berasal dari Sepang, Muhammad Rafiuddin Mahat, 31, berkata langkah itu sekali gus membolehkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyediakan pasukan mantap dan menaik taraf fasilti pasukan seperti di pusat latihan.

“Tak guna sembang lebih konon ‘Selangor sampai mati’ tetapi beli jersi tiruan sedangkan jersi tulen berkualiti tinggi, berbaloi dan harga sangat berpatutan yang mampu dibeli semua golongan.

“Jersi tiruan sangat perlu dibanteras dan pada masa sama menunjukkan sokongan 100 peratus kepada FAS dalam pembaharuan yang sedang giat dijalankan demi kebaikan Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Eksekutif Swasta, Abu Samah Esmahil, 40 berkata, penyokong bola sepak juga perlu mempunyai kesedaran untuk tidak menyokong lanun cetak rompak dengan membeli jersi tiruan.

“Jersi tulen versi penyokong yang ditawarkan FAS bukan sahaja sangat murah dan berbaloi tetapi dijual separuh harga berbanding versi pemain, namun tetap berkualiti.

“Saya percaya gejala cetak rompak perlu dibenteras dengan mengadakan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan, Meer Aziz Nagoor Ghani, 40, daripada Klang pula menyeru penyokong pasukan Selangor berganding bahu membenteras penjualan jersi tiruan.

“Setiap penyokong setia harus membanteras jersi cetak rompak dengan penyokong sendiri menjadi ejen FAS kerana ada pihak kaut keuntungan tetapi pasukan dan FAS sendiri rugi .

“Demi bola sepak kita, bangkitlah penyokong bersama membanteras jersi cetak rompak demi kebangkitan pasukan dan FAS sendiri yang diterajui Raja Muda Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Presiden FAS, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melancarkan jersi pasukan Selangor 2019 yang ditaja jenama antarabangsa, Joma.

Jersi dengan tiga variasi iaitu ‘home’, ‘away’ dan ‘3rd kit’ itu terdapat dua veris iaitu versi pemain berharga RM89.10 dan versi penyokong pula berharga RM44.10.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Penyokong harap Red Giants kembali menyinar

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 26 JAN: Penyokong Selangor berharap ‘The Red Giants’ kembali bangkit dan menampilkan persembahan terbaik serta memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Naeem Ramlan, 27, mengharapkan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di bawah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dapat mengembalikan kegemilangan pasukan dan akan terus memberikan sokongan kepada skuad bimbingan B Sathianathan.

“Kita mahukan pembaharuan dari segi pengurusan pasukan dan pemain perlu memberikan komitmen penuh sepanjang musim ini.

“Saya yakin kita mampu menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini dan ia boleh dijayakan dengan komitmen semua termasuk penyokong,” katanya kepada SelangorKini yang ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi Home dan Away Selangor 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa.

Katanya, permulaan kepimpinan Tengku Amir Shah dilihat berjaya menarik semula peminat untuk kembali ke Stadium Shah Alam dan mengharapkan Selangor mengutip tiga mata penuh, pada aksi pertama musim 2019 di Stadium Shah Alam, pada 3 Februari ini.

Bagi Saiful Adli Aziz, 34, penyokong Selangor diharap memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam tempoh awal kebangkitan semula selepas mengharungi musim tidak memberangsangkan sebelum ini.

Katanya, pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya bagi merealisasikan harapan penyokong yang dahagakan kejayaan buat The Red Giants.

“Sokongan kepada pasukan Selangor kembali ramai dan diharapkan ia teguh sehingga penghujung musim. Pemain perlu memberikan persembahan terbaik buat penyokong kali ini.

“Tahniah juga buat barisan pengurusan FAS dan diharapkan Selangor dapat bangkit ke arah lebih baik, pada masa akan datang,” katanya.